Perintah tahanan reman terhadap dua pesawah yang disyaki terlibat dengan kes penyelewengan Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), bernilai kira-kira RM2.54 juta sejak awal tahun lalu, disambung lima hari lagi, bermula hari ini.

Penahanan sehingga 3 Disember ini terhadap suspek yang masing-masing berusia 46 dan 52 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Mohd. Anuar Ostadi pagi tadi.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang memakai pakaian lokap jingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pekarangan kompleks mahkamah sekitar 11.20 pagi, sebelum dibawa keluar 30 minit kemudiannya.

BACA: Pesawah subahat seleweng baja ditahan SPRM

BACA: Baja diseleweng dijual serendah RM10 - sumber

Kedua-dua suspek sebelum ini ditahan pada 21 dan 22 November lalu selepas diminta hadir ke pejabat SPRM negeri untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan mengikut seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang boleh dijatuhi hukuman denda lima kali nilai rasuah atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua suspek disyaki bersubahat dengan tiga yang lain termasuk seorang pengurus Projek Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), dalam menguruskan projek mengusahakan penanaman padi seluas 22.2 hektar yang dipajak di Merlimau, Jasin.

Pengurus projek itu juga dipercayai membuat 23 tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM2.54 juta membabitkan 56,700 kampit baja, sepanjang tahun lalu yang tidak pernah diluluskan oleh mesyuarat penapis PPK.

Baja itu sepatutnya dituntut oleh PPK berkenaan bagi pihak petani di sektor penanaman padi yang menyertai SBPKP serta diagihkan kepada mereka.

Bagaimanapun, suspek dipercayai menjual semula baja terbabit bagi mendapatkan keuntungan peribadi.

Sebuah kereta mewah turut disita dipercayai dibeli menggunakan wang hasil jualan baja berkenaan.