MALAYSIA

Seleweng dana NGO, empat individu direman, aset dan wang RM8 juta disita

Yasmin Natasha 12/06/2025 | 10:08 MYT
Semua suspek dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman hari ini.
MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman empat individu termasuk tiga ahli jawatankuasa sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana milik organisasi berkenaan.


Ringkasan AI
  • SPRM menahan reman empat individu termasuk tiga ahli jawatankuasa NGO selama tujuh hari kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana organisasi antara tahun 2015 hingga 2025.
  • SPRM menyita wang tunai RM900,000, membekukan 14 akaun bank bernilai kira-kira RM5 juta, serta merampas barang kemas, sembilan lot tanah dan empat unit rumah yang dipercayai berkaitan aktiviti penyelewengan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan susulan.


Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin mengeluarkan perintah reman selama tujuh hari sehingga 18 Jun selepas permohonan dibuat oleh pihak SPRM.

Menurut sumber, dua lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 30-an ditahan antara jam 4 petang hingga 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki terlibat dalam penyelewengan dana NGO bersama pengerusi organisasi terbabit, antara tahun 2015 hingga 2025, untuk kepentingan peribadi,” kata sumber SPRM.

Susulan penahanan itu, SPRM turut menyita pelbagai aset dipercayai berkaitan aktiviti penyelewengan tersebut.

Antara yang disita ialah wang tunai berjumlah kira-kira RM900,000, selain pembekuan 14 akaun bank yang melibatkan lapan akaun individu, enam akaun syarikat dengan nilai kira-kira RM5 juta, barang kemas, sembilan lot tanah di Melaka, Pulau Pinang dan Selangor dan empat unit rumah di Melaka.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Tuan Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, iaitu berkaitan kesalahan menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan.

“Siasatan masih diteruskan dan SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada lagi tangkapan,” katanya ringkas.





#SPRM #seleweng dana NGO #skandal dana NGO #AJK NGO