MALAYSIA

Seleweng RM1.5 juta: Bekas penolong pengurus besar dipenjara satu tahun

Bernama 11/11/2025 | 13:22 MYT
Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara satu tahun terhadap seorang bekas penolong pengurus besar sebuah syarikat telekomunikasi, kerana menyeleweng harta syarikat bernilai lebih RM1.5 juta. - Foto hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman penjara satu tahun terhadap seorang bekas penolong pengurus besar sebuah syarikat telekomunikasi, kerana menyeleweng harta syarikat bernilai lebih RM1.5 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azman Abdullah dan bersama Hakim Datuk Azmi Ariffin serta Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid, menjatuhkan hukuman tersebut selepas membenarkan sebahagian rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Shamsul Bahri Musa daripada pertuduhan itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Azman memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa lelaki itu melakukan kesalahan menyeleweng harta syarikat dan bukannya pengkhianatan amanah jenayah (CBT).

Mahkamah itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang melepas dan membebaskan Shamsul Bahri daripada e mpat pertuduhan CBT dan sebaliknya menjatuhkan sabitan di bawah pertuduhan penyelewengan harta.

Hakim Azman menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama, lapan bulan bagi pertuduhan kedua, 12 bulan bagi pertuduhan ketiga dan sembilan bulan bagi pertuduhan keempat, yang semuanya akan dijalankan serentak bermula hari ini.

Ini bermakna Shamsul Bahri, 56, akan dipenjara satu tahun dan lelaki itu tidak dikenakan hukuman sebatan kerana telah berusia lebih 50 tahun.

Beliau juga disabitkan bagi pertuduhan kedua iaitu menyeleweng RM254,992.62; pertuduhan ketiga (RM1,040,119.38) dan pertuduhan keempat (RM176,901.25).

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Menara Mutiara Bangsar, Jalan Liku, Off Jalan Riong, Kuala Lumpur, antara Januari 2007 dan September 2010.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen telah mensabitkan Shamsul Bahri atas pertuduhan CBT dan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun. Mahkamah Tinggi kemudiannya melepas dan membebaskannya daripada semua pertuduhan pada Mac tahun lepas, mendorong pihak pendakwaan untuk membuat rayuan.

Shamsul Bahri diwakili peguam Datuk Hasnal Rezua Merican, manakala Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob mewakili pendakwaan.

-- BERNAMA

#bekas penolong pengurus besar #penjara satu tahun #Mahkamah Rayuan #menyeleweng harta syarikat