Seludup diesel: Polis patahkan sindiket, rampasan bernilai lebih RM7 juta

Hilmi Malik
September 9, 2022 10:22 MYT
Polis turut membuat beberapa rampasan antaranya 70,000 liter minyak diesel, sebuah lori tangki yang telah diubah suai serta sebuah kenderaan untuk pelbagai guna. - Foto ihsan PDRM
KUALA LUMPUR : Seramai tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga asing ditahan selepas dipercayai terlibat dengan sindiket penyeludupan diesel di Pandamaran, Klang pada Selasa lalu.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, tangkapan itu dibuat menerusi Op Kontraban.
Polis turut membuat beberapa rampasan antaranya 70,000 liter minyak diesel, sebuah lori tangki yang telah diubah suai serta sebuah kenderaan untuk pelbagai guna.
Kesemua nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,590,000 selain siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Tegasnya, PDRM sentiasa komited dalam membanteras sindiket seumpama itu yang telah mengakibatkan kerugian terhadap masyarakat dan negara.
Dalam masa sama, pihaknya turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat melibatkan sindiket sama untuk tampil membuat laporan.
#seludup diesel #warga asing #Bukit Aman #PDRM #sindiket #pandamaran #Klang #Op Kontraban