MALAYSIA

Seludup e-waste: Veteran ATM bersara awal diserap untuk perkuat AKPS - Shuhaily

Asyraf Malik 09/02/2026 | 14:30 MYT
Mohd Shuhaily berkata AKPS akan mempertimbang menyerap veteran Angkatan Tentera Malaysia yang bersara awal dan kompeten. -Gambar Bernama
PELABUHAN KLANG: Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal diserap ke dalam Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi memperkukuh keupayaan penguatkuasaan.


Ringkasan AI
  • Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diserap ke dalam Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) untuk memperkuat penguatkuasaan dengan fokus taktik penyeludupan yang semakin kompleks.
  • Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menekankan pengambilan pegawai askar bersara yang masih muda bagi melaksanakan tugas di lapangan, disertai dengan peningkatan kepakaran dan kerjasama dengan veteran ATM.
  • Permasalahan penyeludupan sisa elektronik (e-waste) ke Malaysia turut dibincangkan, di mana sindiket jenayah terancang mengambil kesempatan apabila China menghentikan pengimportan bahan tersebut, menimbulkan keperluan pengawasan lebih ketat di pelabuhan.


Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, perkara itu sekali gus memperkuat agensi berkenaan ketika negara berdepan taktik penyeludupan yang semakin kompleks.

"Pada pagi Isnin, saya bertemu dengan Panglima ATM, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman yang menzahirkan komitmen bantuan tidak berbelah bahagi kepada AKPS.

"Saya ingin menjelaskan di sini, apa kita ambil adalah pegawai askar bersara dalam short service yang masih lagi bertenaga dan muda untuk melaksanakan tugasan di lapangan.

"Daripada sudut kerja pula, kita perlu melihat kepakaran masing-masing dan kehendak AKPS di tempat tersebut. Perbincangan lanjut akan dibuat dengan pihak veteran ATM," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengiringi Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dalam lawatan kerja ke Pelabuhan Klang, di sini, pada Isnin.

Shuhaily turut memberikan contoh veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilihat aset berharga, khususnya dalam konteks maritim di pelabuhan.

Jelasnya, usia AKPS yang masih setahun jagung menyebabkan mereka seolah-olah tempang mendepani modus operandi sindiket masa kini.

"Kekuatan risikan AKPS masih dalam keadaan paling minimum, kita setakat ini berharap kepada agensi teras lain untuk membantu.

"Penyeludup akan buat bermacam cara untuk kaburi mata kita, antaranya barang yang baik diletakkan dekat depan kontena, barang terlarang di belakang. Jadi kita AKPS yang kena punggah untuk periksa.

"Selain itu sindiket ini juga licik membuat pembiasan kepada pengimbas X-ray di pusat pemeriksaan, mereka pasang jubin seramik di permukaan dalam kontena. Di sini kepakaran dan keikhlasan pegawai itu ditagih," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan organisasi jenayah terancang menyeludup e-waste menerusi pelabuhan lain di seluruh Malaysia untuk mengelak sekatan.

"Penyeludupan sisa eletronik ke Malaysia bermula apabila negara China menghentikan pengimportan bahan tersebut.

"E-waste dilupuskan dengan mencari tempat yang paling murah, ada pihak di Malaysia mahu memanfaatkan peluang ini," jelasnya.



#e-waste #Angkatan Tentera Malaysia #AKPS #sindiket penyeludupan #pengimbas X-ray