Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan pihaknya dengan kerjasama Petronas telah membangunkan ‘Incident Management System’ di pautan www.kkm.gov.my/coronavirus/2019-nCoV/city/kl/klccc untuk menyelaras respons terhadap kesihatan awam di peringatkat domestik dan antarabangsa.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) pada Jumaat, KKM turut menegaskan bahawa tiada kes COVID-19 di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC).

Dalam pada itu, kenyataan itu turut menyebut, pihak Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor (MAKMUR JOHOR) juga menafikan borang pemohonan Bantuan Tunai Ihsan COVID-19 Johor seperti tular di media sosial untuk edaran awam.

“Sebaliknya, borang tersebut adalah untuk kegunaan wakil atau penyelaras pusat saluran (PBT, Pejabat ADUN dan Pejabat Daerah),” katanya.

Sementara itu, MAKMUR JOHOR menjelaskan bahawa keutamaan bantuan tersebut adalah kepada mereka yang tidak pernah menerima sebarang bentuk bantuan daripada kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Penentuan penerima Bantuan Tunai Ihsan COVID-19 Johor tertakluk kepada penilaian akhir Sistem e-IHSAN di bawah kendalian Jabatan Perbendaharaan Negeri Johor,” tulis kenyataan itu.