MALAYSIA

Semakan calon PLKN 3.0 Siri 1 2026 boleh dibuat mulai hari ini

Bernama 08/12/2025 | 13:30 MYT
Jabatan Latihan Khidmat Negara dalam kenyataan memaklumkan semakan boleh dibuat melalui pautan sistem ePLKN 3.0, iaitu https://plkn.mod.gov.my. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pengambilan pelatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 1 2026 boleh disemak mulai 4 petang ini.


Ringkasan AI
  • Semakan pengambilan pelatih PLKN 3.0 Siri 1 2026 boleh dilakukan mulai 4 petang ini melalui sistem ePLKN 3.0 di laman web https://plkn.mod.gov.my.
  • Pelatih yang dipilih perlu mengesahkan kehadiran melalui sistem ePLKN 3.0 sebelum 25 Disember untuk memastikan proses pendaftaran lancar.
  • Pengumuman bagi siri latihan seterusnya akan diumumkan secara berperingkat dan pelatih perlu sentiasa memeriksa makluman di saluran rasmi JLKN.


Jabatan Latihan Khidmat Negara dalam kenyataan memaklumkan semakan boleh dibuat melalui pautan sistem ePLKN 3.0, iaitu https://plkn.mod.gov.my.

Menurut kenyataan itu, semua pelatih yang terpilih selepas membuat semakan diwajibkan mengesahkan kehadiran menerusi sistem ePLKN 3.0 selewat-lewatnya pada 25 Dis ini bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran dan pentadbiran.

Bagi siri latihan berikutnya, JLKN memaklumkan pengumuman akan dibuat secara berperingkat dan bakal pelatih diminta supaya sentiasa peka terhadap makluman di saluran rasmi jabatan itu untuk melakukan semakan dari semasa ke semasa.

"Kehadiran pelatih yang terpilih adalah wajib dan kegagalan melapor diri tanpa alasan munasabah boleh dianggap sebagai ingkar arahan serta dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18 (1) Akta Latihan Khidmat Negara," menurut kenyataan itu.

PLKN 3.0 Siri 1 2026 akan berlangsung dari 17 Jan hingga 3 Mac di dua kem Askar Wataniah (AW), iaitu Rejimen 515 (AW) Kuala Lumpur dan Rejimen 505 (AW) Pekan, Pahang. Sebanyak empat siri latihan PLKN 3.0 dijadualkan sepanjang 2026.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui Unit Pelatih, Sektor Latihan JLKN menerusi talian 03-4013 (sambungan 3612/3613/3614/3604/3603/3626) atau laman sesawang rasmi jabatan berkenaan.

-- BERNAMA


#Program Latihan Khidmat Negara #laman sesawang #ingkar arahan #alasan munasabah