Skip to main content

Malaysia

Semakan hak 40% pemberian khas Sabah diperjelaskan esok - PM

Anwar Ibrahim, Gaza , Lubnan
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah. - Gambar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan semakan tuntutan hak 40 peratus pemberian khas kepada Sabah dijangka diperjelaskan lebih lanjut esok, susulan ia termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penjelasan terperinci mengenai perkara itu akan dibuat ketika lawatan beliau ke Sabah.

“Itu (semakan berkaitan hak 40 peratus pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak) saya akan jelaskan di Sabah esok. Saya ke Sabah,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Saidina Hamzah Kuala Lumpur. 

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan menyatakan komitmen untuk memperbetulkan pendirian pentadbiran terdahulu termasuk melaksanakan semakan semula berkaitan hak 40 peratus pemberian khas kepada Sabah.

Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, dilaporkan berkata komitmen itu selari dengan pendirian kerajaan yang mengiktiraf hak Sabah seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha kerajaan menilai semula pendirian rasmi sebelum ini yang tidak melaksanakan semakan berkenaan.

Tambah beliau, walaupun isu itu masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, GRS menegaskan supaya semakan kadar pemberian khas di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan pada tahun ini.

Must Watch Video

Advertisement