LANGKAWI: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memaklumkan bahawa proses perbincangan bagi semakan semula tarif air bersama operator-operator di peringkat negeri kini berada di peringkat akhir sebelum ianya dibentangkan di Parlimen.

Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman menjelaskan bahawa proses berkenaan dilakukan bagi mencari keputusan menang-menang kepada pihak operator serta pengguna atau penduduk di negeri masing-masing.

Tambahnya, penyemakan semula tarif air sememangnya menjadi tuntutan pihak operator di seluruh negara memandangkan permintaan bekalan air dan kos pengoperasian semakin meningkat.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa, semakan semula tarif air mampu untuk menjamin keberkesanan pengoperasian dalam kalangan pihak operator.

"Macam (seperti di) Pulau Pinang, itu antara negeri yang terendah (atau murah) tarif air dia dan (juga) kita terpaksa tangani isu Non Revenue Water (NRW), untuk selesai masalah itu, untuk cover kos itu.

"Jadi sekarang pihak kementerian sekali dengan SPAN sedang berunding untuk cari satu titik penyelesaian untuk bagi win-win situation, satu untuk operator air (dan) satu untuk pengguna, untuk rakyat kena tengok juga, (sekarang ini perbincangan itu) idah hampir (siap), cuma dalam peringkat (akhir) sebelum kita bentangkan di peringkat Parlimen.

Mansor berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Penanaman Bakau sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2022 di Kilim Karst Geoforest Park, Langkawi pada Ahad.

Pada Jumaat, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) berharap Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memuktamadkan segera permohonan semakan tarif air yang dikemukakan pada Mac lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, sehingga kini pihaknya masih menunggu keputusan tersebut selepas kali terakhir semakan tarif air dibuat pada 2015.

Beliau berkata, tarif air domestik di negeri itu antara yang terendah namun penggunaannya adalah yang paling tinggi.