[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Semangat ‘balik kampung’ terpancar di majlis Aidilfitri Suruhanjaya Tinggi Malaysia di NZ

Astro Awani 10/04/2025 | 03:20 MYT
Mazita (duduk, dua dari kanan) bersama sebahagian daripada komuniti Malaysia di Wellington yang hadir memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, baru-baru ini.
WELLINGTON: Buat julung-julung kali, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri pada minggu pertama Syawal di Rumah Malaysia, di sini.
Istimewanya, majlis berkenaan diraikan dalam dua sesi iaitu pada sebelah pagi khusus buat kor diplomatik, wakil-wakil kerajaan New Zealand dan tetamu-tetamu kehormat.
Sementara, acara pada sebelah petang pula dianjurkan secara kerjasama dengan persatuan komuniti Malaysia, New Zealand Malaysian Society (NZMS) dan Persatuan Pelajar Malaysia di Wellington (WMSO).
Sesi kedua majlis hari raya itu pula dimeriahkan dengan kehadiran 300 komuniti Malaysia di Wellington.
Pelbagai juadah disediakan bagi memperkenalkan hidangan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand, Mazita Marzuki, beliau sangat bersyukur dan terharu kerana majlis Aidilfitri berkenaan diraikan dengan penuh keceriaan oleh tetamu asing, sementara warga Malaysia pula meraikannya dalam semangat Syawal.
Kata Mazita, dengan pengisian yang sarat dengan nilai kebudayaan Malaysia khususya dari aspek juadah yang dihidangkan, sambutan Aidilfitri itu meninggalkan makna yang cukup mandalam kepada semua yang menghadirinya.
“Inisiatif mempromosikan kebudayaan Malaysia melalui juadah dan pakaian tradisi negara kepada masyarakat antarabangsa pada acara ini sangat relevan dan bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” kata Mazita kepada Astro AWANI.
Mazita (tiga dari kanan) bersama antara tetamu yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Kemeriahan acara berkenaan juga, jelas Mazita, menggamit memori sebahagian besar komuniti Malaysia terhadap budaya balik kampung yang sangat sinonim dengan perayaan utama dalam kalendar umat Islam itu.
“Saya tumpang gembira dan terharu apabila ada tetamu yang menyatakan sambutan Aidilfitri bersama komuniti Malaysia di Wellington seakan-akan membawa mereka pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama keluarga.
“Reaksi sebegini memberi makna yang cukup besar buat kami semua di sini,” jelas Mazita lagi.
Antara wakil kor diplomatik di New Zealand yang menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Zealand.
#Hari Raya Aidilfitri #Suruhanjaya Tinggi Malaysia #Rumah Malaysia #Wellington #Mazita Marzuki