SERDANG: Semangat hubbul watan (cinta akan negara) perlu diterjemahkan melalui prinsip ta'ayush atau kehidupan bersama secara harmoni dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan kaum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Beliau berkata Nabi Muhammad SAW mengajar umat Islam supaya memelihara hubungan sesama manusia atas dasar ukhuwah insaniah, manakala sesama umat Islam pula terikat dengan ikatan ukhuwah Islamiah yang kukuh.
"Oleh itu, perbezaan pandangan politik, keragaman warna kulit dan latar belakang sosial tidak seharusnya menjadi alasan untuk saling membenci, menghina atau menghasut.
"Dalam masyarakat majmuk, setiap warga mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keharmonian, menolak ucapan kebencian dan provokasi yang boleh merosakkan hubungan antara masyarakat," katanya semasa berucap pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1448/2026 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
Zulkifli berkata kecintaan kepada Rasulullah SAW seharusnya melahirkan umat yang menjadi sumber keamanan, pendamai dan jambatan yang menghubungkan masyarakat, bukan punca permusuhan, penghasut atau tembok yang memisahkan.
Beliau berkata perubahan yang dibawa dalam pentadbiran Rasulullah SAW bukanlah perubahan biasa, bahkan merupakan satu anjakan paradigma yang luar biasa.
"Baginda tidak sekadar memimpin, malah baginda menyuntik nafas baharu dalam memasyarakatkan warga Madinah.
"Baginda berjaya menterjemahkan konsep 'kepelbagaian' itu sebagai satu kekuatan, merapatkan tautan ukhuwah sesama Islam, membina jambatan persaudaraan kemanusiaan dengan yang bukan Islam, lalu membentuk satu masyarakat Madinah yang padu," katanya.
Zulkifli berkata penghayatan tema Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan tahun ini, "MADANI Dihayati, Ummah Diberkati", turut membawa makna mendalam kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Beliau berkata menghayati aspirasi MADANI bukan sekadar usaha memahami satu dasar kerajaan, tetapi merupakan satu proses menterjemahkan nilai-nilai murni Islam ke dalam sistem hidup bermasyarakat dan bernegara.
"Kita percaya, jika kita terus merapatkan saf, mengeratkan perpaduan sesama kita, berpadu tenaga ke arah usaha memakmurkan negara, natijahnya akan menghasilkan keberkatan buat negara dan umat seluruhnya," katanya.
-- BERNAMA