Semangat juang Michael Riman wajar dikenang generasi muda - Abdul Karim

Bernama
Ogos 9, 2023 08:09 MYT
Michael Riman yang merupakan penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) menghembuskan nafas terakhir kira-kira 9 pagi selepas beberapa tahun menghidap penyakit buah pinggang. - Foto BERNAMA
KUCHING: Semangat yang ditunjukkan oleh mendiang Mejar (B) Michael Riman Bugat dalam berjuang untuk mempertahankan negara wajar dikenang oleh generasi muda Malaysia.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata pejuang seperti Michael Riman, 71, telah membawa kesejahteraan dan keamanan kepada negara untuk dinikmati generasi sekarang.
"Kita perlu mengingati perjuangan mereka dan sedaya upaya berusaha untuk mencontohi apa yang telah dilakukan oleh mereka untuk melihat Malaysia menjadi negara yang aman dan makmur," katanya kepada pemberita hari ini selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang yang meninggal dunia Isnin lepas.
Michael Riman yang merupakan penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) menghembuskan nafas terakhir kira-kira 9 pagi selepas beberapa tahun menghidap penyakit buah pinggang.
Sewaktu berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia, mendiang yang merupakan rakan sepasukan Datuk Kanang Langkau, seorang lagi penerima PGB, telah terlibat dalam beberapa pertempuran sengit dengan pengganas komunis dalam tahun 1970-an.
Dalam satu pertempuran di Gopeng, Perak pada 1 Jun 1979, Michael Riman telah terkena tembakan di tangan kanannya yang menyebabkan kecacatan kekal.
Mendiang akan disemadikan di Makam Pahlawan di sini, esok.
-- BERNAMA
#Michael Riman Bugat #komunis #makam pahlawan #Angkatan Tentera Malaysia #Abdul Karim Rahman Hamzah