KUALA LUMPUR: Menjelang detik sambutan Hari Kebangsaan ke-69 esok, Dataran Putrajaya kini bersedia menjadi pentas yang menghimpunkan ribuan peserta, kehebatan aset negara serta pelbagai persembahan yang bakal menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan kali ini menampilkan pengisian penuh warna-warni yang bukan sahaja mengangkat semangat cinta akan negara, malah mengetengahkan nilai perjuangan dan jati diri dalam meraikan kemerdekaan.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah dijadualkan berangkat menyaksikan acara sambutan itu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri.
Acara yang dijadualkan bermula pada 8 pagi itu melibatkan penyertaan 10,819 peserta perbarisan membabitkan 76 kontinjen serta 22 pasukan pancaragam, 11 kereta berhias, 328 aset darat, laut dan udara serta 112 ekor haiwan dalam perkhidmatan selain 22 unit aset kenderaan elektrik (EV).
Perjalanan acara merangkumi komponen kenegaraan, kesejahteraan, ketenteraman awam dan keselamatan negara, sebelum diteruskan dengan persembahan udara serta persembahan khas “Rentak MADANI, Paluan Tradisi”.
Membuka acara, persembahan “Gema Inovasi MADANI” yang diselaraskan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan ditampilkan menerusi gabungan pergendangan warisan tradisi dan inovasi yang mengangkat semangat kebersamaan.
Menggunakan 150 alat muzik serta 700 kompang tradisi dan inovasi, persembahan pembukaan itu memaparkan kepelbagaian alat muzik pergendangan yang mewakili kaum utama Malaysia sebagai simbol kesejahteraan, keharmonian, muhibah dan kesetiaan.
Persembahan berkenaan turut menjadi manifestasi semangat MADANI dalam mengangkat warisan budaya, inovasi, perpaduan serta jati diri bangsa menerusi pendekatan kreatif yang menghubungkan unsur tradisi dengan pembaharuan.
Komponen kenegaraan antaranya melibatkan kontinjen pembawa Jalur Gemilang bersaiz besar yang disertai pegawai kadet darat, laut dan udara daripada Akademi Latihan Kenegaraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), serta penyertaan kontinjen Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Turut mengambil bahagian ialah komponen kesejahteraan sukan yang menampilkan atlet negara serta pemenang pingat Sukan Komanwel Glasgow 2026, yang membawa bersama semangat kecemerlangan anak Malaysia di persada tanah air dan antarabangsa.
Komponen kesejahteraan dan ekonomi rakyat pula menghimpunkan gabungan syarikat penyedia perkhidmatan serta sektor swasta antaranya Munchy’s Malaysia, ZUS Coffee, Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Persatuan Industri Keselamatan Malaysia, MR. D.I.Y Group (M) Berhad, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad dan Carsome Sdn Bhd.
Bagi komponen ketenteraman awam, antara agensi yang akan mengambil bahagian ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sekali gus memperlihatkan peranan mereka dalam menjaga keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
Turut menyertai perarakan ialah Askar Timbalan Setia Negeri Johor yang merupakan pasukan tertua di Malaysia, yang berperanan dalam mempertahankan kedaulatan serta keselamatan Institusi Diraja Johor.
Sementara itu, kereta berhias bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026-2027 akan mempamerkan ikon pelancongan negeri, flora dan fauna, busana serta alat muzik tradisional daripada pelbagai kaum di Malaysia.
Penyertaan rakan strategik penerbangan, iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air dan Air Borneo turut menyerikan perarakan berkenaan, manakala peneraju animasi negara Les’ Copaque menampilkan watak popular Upin dan Ipin sebagai ikon animasi yang memperkukuh daya tarikan sambutan kepada generasi muda dan keluarga.
Perarakan Hari Kebangsaan turut diiringi aksi bertenaga persembahan grafik manusia yang menghimpunkan 1,500 pelajar daripada 36 sekolah di Selangor dengan menampilkan formasi bergerak mengikut alunan muzik dan bertukar visual pada setiap segmen.
Kemuncak acara diserikan dengan pertunjukan udara oleh pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia yang membelah ruang udara pusat pentadbiran negara, melengkapkan paparan keupayaan dan kekuatan aset pertahanan negara di hadapan ribuan pengunjung.
Lagu tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 bertajuk “Aku Berjanji” hasil ciptaan dan dendangan penyanyi tersohor Faizal Tahir yang menyuntik semangat dan penghayatan terhadap makna kecintaan kepada negara menutup acara sambutan yang dijangka berakhir 10 pagi.
Semalam, Menteri Komunikasi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 Datuk Seri Fahmi Fadzil menasihatkan pengunjung yang hadir di Dataran Putrajaya memakai pelitup muka N95 bagi melindungi diri daripada kesan jerebu ketika ini, dan langkah itu selaras dengan nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) khususnya terhadap individu berisiko.
Penganjur HKHM 2026 juga mengambil pendekatan menyediakan pelitup muka N95 kepada lebih 10,000 peserta Hari Kebangsaan 2026 bagi memastikan kesihatan mereka pada tahap yang baik.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri menerusi infografik di Facebook menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan dan menggunakan pengangkutan awam disebabkan penutupan penuh kawasan ‘Core Island’ Putrajaya yang bermula 30 Ogos pada 5 pagi hingga 31 Ogos, 6 petang.
Penutupan melibatkan lima jambatan utama, iaitu Jambatan Seri Wawasan, Jambatan Seri Saujana, Jambatan Seri Gemilang, Jambatan Putra dan Jambatan Seri Ehsan, selain beberapa laluan sekitar kawasan teras Putrajaya.
-- BERNAMA