KITA patut berbangga dengan Malaysia, sebuah negara unik bersama kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, etnik, agama, kepercayaan, budaya dan adat resam.

Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020, jumlah penduduk Malaysia telah menjangkau 32.73 juta.

Daripada jumlah tersebut, peratusan pecahan penduduk mengikut agama dan kepercayaan pula adalah 60.4 peratus beragama Islam, Buddha (19.2 peratus), Kristian (9.1 peratus), Hindu (6.3 peratus) dan penganut fahaman Konfucius, Taoisme serta fahaman tradisi Cina yang lain pula adalah 2.6 peratus.

Wujudnya komposisi sebegitu unik jelas menunjukkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk dan untuk menyatupadukan semua masyarakat yang berbeza dalam cara tersendiri, maka perlulah satu usaha yang jujur dan berpanjangan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan mereka.

Sememangnya tidak boleh dinafikan bahawa perpaduan adalah syarat mutlak yang dapat menjamin dan memperkasakan keamanan, keharmonian serta pembangunan negara yang bersifat majmuk.

Jika ditinjau kepada sejarah Malaysia, dapat dilihat bahawa rakyat negara ini telah lama mengamalkan sikap toleransi dan saling faham memahami antara satu sama lain sejak dahulu lagi.

Ramai yang berpendapat, dengan wujudnya kedua-dua nilai tersebut dalam masyarakat, maka perpaduan antara kaum sudah tersemai kukuh.

Akan tetapi, timbul beberapa persoalan yang masih berlegar tanpa satu jawapan konkrit.

Adakah nilai saling faham memahami dan sikap toleransi antara kaum tersebut sudah mencukupi untuk menjamin perpaduan negara?

Jika ya, mengapa masih berlaku insiden-insiden yang membabitkan sensitiviti kaum sehingga kini, malah sikap benci membenci antara kaum masih menular dalam kalangan rakyat?

Kita perlu menerima hakikat bahawa walaupun sifat saling faham memahami dan sikap toleransi wujud, namun sikap tersebut nampaknya lebih ketara dalam soal kepolitikan kerana kedua-dua nilai tersebut dikatakan membantu dan menjamin kemenangan parti-parti politik dalam pilihanraya.




Bina perpaduan

Dalam pada itu, kejadian rusuhan kaum atau umumnya dirujuk sebagai ‘Peristiwa 13 Mei’, yang tercetus pada 1969 bukan sahaja mengejutkan rakyat malah menunjukkan bahawa kerajaan perlu menghapuskan jurang perbezaan pembangunan ekonomi antara kaum dalam usaha membina perpaduan negara.

Dengan itu, Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan ideologi Rukun Negara dilancarkan pada 1970 dengan tujuan untuk mencapai matlamat perpaduan kaum.

Secara umumnya, pelaksanaan DEB berjaya mengurangkan jurang perbezaan yang wujud dalam sektor ekonomi dan sosial malah meningkatkan taraf kualiti hidup semua kaum.

Sebagai contoh, pada tahun 1990, peratus pemilikan kekayaan negara oleh kaum Bumiputera dilaporkan meningkat daripada dua kepada lebih 18 peratus.

Pendapatan isi keluarga juga meningkat daripada RM199 kepada RM3,011, manakala pendapatan perkapita bertambah daripada RM860 kepada RM14,954.

Kadar kemiskinan berjaya dikurangkan daripada 50.8 peratus kepada 5.1 peratus dengan kadar pengganguran dikurangkan kepada 3.1 peratus.

Bahkan kadar celik huruf meningkat daripada 50.8 peratus kepada 93.5 peratus, hayat umur telah meningkat kepada 70.3, dengan lebih daripada 98 peratus rumah telah dibekalkan dengan kemudahan air paip dan tenaga elektrik.

Meskipun kejayaan dalam aspek ekonomi dicapai, fenomena polarisasi didapati semakin menular dalam kalangan rakyat terutamanya golongan muda.

Meskipun hampir 50 tahun Rukun Negara diisytiharkan dan rakyat meraikan tahun ini sebagai jubli emas, namun masih dapat dilihat kurangnya penghayatan terhadap Rukun Negara.

Memandangkan fenomena polarisasi semakin meningkat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri baru-baru ini menzahirkan kebimbangan baginda terhadap isu polarisasi kaum sewaktu merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada bulan Mei yang lalu.

Baginda mengingatkan setiap rakyat untuk mendalami dan menghayati erti setiap prinsip Rukun Negara demi mewujudkan keharmonian dan perpaduan kaum bagi menjamin kestabilan negara.




Prinsip utama

Antara prinsip utama yang menjadi nadi kepada keharmonian, kesejahteraan dan kestabilan negara adalah Kepercayaan kepada Tuhan dan Kesetiaan kepada Raja dan Negara.

Sekiranya setiap rakyat memahami, menghayati dan menerapkan kedua-dua prinsip utama tersebut dalam diri dan kehidupan seharian mereka, maka tiga prinsip yang lain secara automatiknya menjadi amalan masyarakat dengan sendirinya.

Rakyat, tidak kira Bumiputera atau bukan perlulah sedar terhadap pentingnya kedudukan institusi Raja dalam masyarakat yang terserlah dalam prinsip pertama Rukun Negara.

WaIaupun institusi raja yang diwarisi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka mengalami pelbagai rintangan dan cabaran, namun tetap berjaya menempuhi segala halangan tersebut.

Sejarah negara menunjukkan wujudnya percubaan penjajah untuk menggugat kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu melalui pengenalan dasar Malayan Union pada tahun 1946.

Tentangan hebat orang Melayu atas tindakan kuasa British yang cuba menidakkan kuasa Raja-raja Melayu telah membawa kepada penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948.

Dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, bukan sahaja kuasa dan martabat Raja-raja Melayu yang menjadi payung kedaulatan negara berjaya dikembalikan, malah Islam sebagai agama Persekutuan dan hak-hak istimewa orang Melayu berjaya dimaktubkan dalam Perlembagaan negara.

Di samping itu, konsep taat setia terhadap Raja-raja Melayu diperkukuhkan lagi dengan pengenalan institusi Yang di-Pertuan Agong apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Berlandaskan sistem Raja Berperlembagaan, institusi Yang di-Pertuan Agong menjadi lambang perpaduan negara.

Sebagai Ketua Utama Negara, Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi hak orang bukan Melayu seperti yang tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam hubungan ini, pemikir psikologi, sosiologi dan teologi mencadangkan beberapa pendekatan progresif untuk memupuk perpaduan sejati dalam kalangan masyarakat.

Antaranya, menurut Profesor Datuk Dr Ibrahim Bajunid daripada Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), rakyat perlu menerapkan sikap toleransi dan juga berani untuk bersikap bersetuju untuk tidak bersetuju (Agree to disagree) demi kepentingan bersama.

Rakyat perlu mengadaptasi cara pemikiran baharu mengikut peredaran masa dan tidak berada dalam takuk yang lama.

Sehubungan itu, rakyat seharusnya bersedia menerima kepelbagaian budaya yang wujud di negara ini sebagai elemen penting dalam memupuk perpaduan.

Jaringan nilai sejagat yang menjadi asas bagi setiap masyarakat di negara ini seperti kasih sayang, murah hati, bertimbang rasa, cemerlang, rendah diri, adil dan saksama, belas kasihan, hormat-menghormati, disiplin diri, beradab, bertolak ansur, bersemangat patriotik serta bersatu padu perlulah diterapkan dalam sanubari rakyat bagi menjayakan usaha perpaduan kaum.

Kesimpulannya, penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara sebagai panduan kehidupan mampu menjadi penawar terhadap penyakit polarisasi yang kian menular bagaikan barah dalam kalangan rakyat.



* Datuk M. Periasamy merupakan seorang penganalisis politik, budaya dan tamadun India.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.