Insiden Pelajar Perempuan Maut Ditikam di Sekolah - Ikuti info terkini di sini
MALAYSIA

Sembilan ditahan cuba seleweng 133,000 tan metrik minyak masak bersubsidi

Bernama 15/10/2025 | 12:37 MYT
Mohd Zuhairi berkata serbuan di sebuah rumah kedai dengan kerjasama IPK Selangor pada 1 petang, merampas 133,000 tan metrik minyak masak bersubsidi bernilai RM333,000. - Gambar fail
KLANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menahan sembilan individu termasuk dua warga asing kerana disyaki terlibat aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dalam serbuan di Kawasan Perindustrian Klang Utama, di sini hari ini.

Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata serbuan di sebuah rumah kedai dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada 1 petang, merampas 133,000 tan metrik minyak masak bersubsidi bernilai RM333,000.

"Premis itu dikesan memindahkan minyak masak paket satu kilogram (kg) ke dalam tong berkapasiti 17 kg untuk dijual semula pada harga RM76 berbanding RM118 di pasaran.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua premis terlibat dan minyak masak itu dipercayai untuk dijual semula di pasaran tempatan dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas serbuan tersebut.

Mohd Zuhairi berkata satu daripada premis itu digunakan sebagai stor untuk kerja pemindahan minyak masak manakala premis bersebelahan dijadikan tempat memotong paket minyak masak bersubsidi.

Beliau berkata pihaknya menemukan lambakan plastik minyak masak paket telah dipotong, peralatan untuk memindahkan minyak serta dokumen berkaitan bekalan minyak masak dan urus niaga yang cuba dimusnahkan.

"Kami mengesyaki premis ini mendapat bekalan daripada pembekal tertentu sebelum menjual semula minyak masak berkenaan menggunakan pelbagai jenama berdaftar yang ada di pasaran," katanya.

Mohd Zuhairi berkata tujuh warga tempatan bekerja di bahagian pengurusan premis dan dua buruh warga asing itu ditahan untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.

Premis terbabit disita mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 manakala syarikat terlibat berpotensi disiasat mengikut Akta Anti Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Beliau berkata serbuan merupakan sebahagian daripada inisiatif KITA GEMPUR bagi menangani isu manipulasi dalam aktiviti perniagaan dan ketirisan melibatkan barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan diminta menyalurkan aduan menerusi WhatsApp 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi Ez ADU KPDN.

-- BERNAMA

#seleweng minyak masak #minyak bersubsidi #KPDN Selangor #sembilan individu ditahan #Klang