Polis menahan sembilan individu termasuk dua pegawai Imigresen selepas dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan warga China ke negara ketiga.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata aktiviti itu dikesan dilakukan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang menggunakan pasport antarabangsa Malaysia yang tulen.

Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada lima warga tempatan dan empat warga China di sekitar KLIA dan Miri, Sarawak dalam operasi mengesan dan menangkap anggota sindiket terbabit yang bermula 4 Februari hingga hari ini.

"Anggota sindiket yang ditahan terdiri daripada seorang ejen penyeludupan manusia, dua fasilitator penyeludupan manusia, dua pegawai Imigresen, seorang runner dan tiga warga China," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Khalid berkata polis turut merampas wang tunai berjumlah RM44,000, lima pasport Malaysia yang tulen; lima pasport China dan beberapa telefon bimbit.

Menurutnya siasatan mendapati wujud kerjasama antara rangkaian penyeludupan warga China di Malaysia dan sindiket antarabangsa yang menggunakan sindiket tempatan untuk mendapatkan pasport tulen.

"Mereka menggunakan sindiket tempatan untuk mendapatkan pasport Malaysia yang tulen dengan penglibatan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia, khususnya di Miri yang mengenakan bayaran RM40,000 untuk setiap pasport," katanya.

Beliau berkata pasport itu kemudian digunakan untuk ke negara ketiga dengan menggunakan laluan udara, khususnya di KLIA Sepang.

Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Tiga daripada warga China itu juga akan didakwa mengikut Seksyen 12 (1)(c) Akta Pasport 1966 kerana memiliki pasport tulen yang diperoleh secara salah.

Khalid berkata polis akan terus meningkatkan usaha mengesan dan membanteras sebarang kegiatan penyeludupan di negara ini.