KUALA LUMPUR: Sarawak kekal menjadi satu-satunya negeri di negara ini yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 4 petang ini, melibatkan sembilan kawasan di negeri berkenaan.
Menurut data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), kawasan itu melibatkan Samarahan yang merekodkan IPU 163, Kuching (163), IPD Serian (162), Bintulu (156), Sarikei (155), Sibu (152), Sri Aman (152), Mukah (137) dan Samalaju (125).
Selain itu, sebanyak 46 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala 13 kawasan berada pada tahap baik.
Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 sebagai berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
-- BERNAMA