NATIONAL

Sembilan lagi anggota FRU dirawat di hospital, lima cedera parah

Sinar Harian 13/05/2025 | 09:46 MYT
Antara mangsa nahas melibatkan trak FRU dengan lori batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam yang dibawa ke hospital. -Gambar fail/APM Hilir Perak
KUALA LUMPUR: Nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Perak disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan negara.

Ringkasan AI
  • Nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam yang mengorbankan sembilan anggota FRU dan pemandu lori disifatkan sebagai kehilangan besar buat PDRM dan negara.
  • Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim, merakamkan ucapan takziah dan menyatakan rasa dukacita mendalam, serta mendoakan kesembuhan anggota yang cedera, termasuk lima yang parah.
  • Beliau menegaskan bahawa semangat perjuangan anggota FRU yang terkorban akan terus dikenang, dan PDRM berduka atas kehilangan wira-wira yang berkhidmat dengan penuh dedikasi.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim turut merakamkan ucapan takziah serta rasa dukacita yang amat mendalam terhadap insiden kemalangan tersebut.
“Dukacita dimaklumkan, seramai sembilan anggota telah terkorban, manakala sembilan lagi sedang menerima rawatan di hospital, termasuk lima dalam keadaan parah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Azmi berkata, anggota FRU terlibat telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dan komitmen dalam menjaga keamanan serta keselamatan negara.
“Saya mendoakan agar roh para wira yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Buat keluarga mangsa, semoga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini.
“Bagi anggota yang sedang menerima rawatan, marilah kita bersama-sama mendoakan agar mereka segera pulih seperti sedia kala.
"PDRM berduka atas kehilangan ini, namun semangat perjuangan mereka akan terus kami kenang dan sematkan dalam jiwa,” ujarnya. -Sinar Harian
#trak FRU #Azmi Abu Kassim #Jalan Chikus-Sungai Lampam #lori batu kerikil