Sembilan rumah sewa musnah dalam kebakaran di Dengkil

Bernama
Mei 29, 2022 04:10 MYT
Anggaran kemusnahan keseluruhan adalah 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa. - Gambar hiasan
DENGKIL: Deretan sembilan premis rumah sewa satu tingkat musnah hampir 90 peratus dalam kebakaran di Kampung Jenderam Hilir, di sini malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada 9.52 malam dan anggota tiba di lokasi pada 10 malam dan kebakaran berjaya dipadamkan sejam kemudian.
"Anggaran kemusnahan keseluruhan adalah 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa. Punca kejadian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Difahamkan, seramai 25 individu tinggal di rumah sewa berkenaan iaitu 20 dewasa dan lima kanak-kanak termasuk warganegara Indonesia dan Pakistan.
-- BERNAMA
#rumah sewa #kebakaran #warga asing #Kampung Jenderam Hilir