Sembilan sekolah antarabangsa di Selangor, KL terima ancaman bom, polis sahkan ancaman palsu

Bernama
November 21, 2023 09:24 MYT
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tujuh sekolah di Selangor itu melibatkan daerah Petaling Jaya, Kajang, Subang Jaya, Shah Alam dan Kuala Langat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan berkenaan sembilan sekolah antarabangsa, masing-masing dua di Kuala Lumpur dan tujuh di Selangor menerima ancaman bom menerusi e-mel pagi tadi.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tujuh sekolah di Selangor itu melibatkan daerah Petaling Jaya, Kajang, Subang Jaya, Shah Alam dan Kuala Langat.
"Hasil siasatan di tempat kejadian sehingga 1 tengah hari tadi, tidak menemui sebarang bom di dalam sekolah-sekolah terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya e-mel itu adalah maklumat palsu yang hanya bertujuan menimbulkan kegusaran pihak sekolah dan ibu bapa.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi berkata Unit Pemusnah Bom sedang menjalankan tugasan flushing di dua sekolah antarabangsa di Wangsa Maju yang menerima ancaman bom hari ini.
Terdahulu tular mesej di laman sosial mengenai ancaman bom menerusi e-mel tanpa nama yang diterima beberapa sekolah antarabangsa antara pukul 10 dan 11 pagi tadi.
-- BERNAMA
#sekolah antarabangsa #ancaman bom #polis #Hussein Omar Khan