MALAYSIA

Sembilan termasuk empat penuntut cedera letupan di universiti swasta

Bernama 12/01/2026 | 08:00 MYT
Sembilan termasuk empat penuntut cedera dalam insiden letupan kompresor penyaman udara di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara. -Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sembilan termasuk empat penuntut cedera dalam insiden letupan kompresor penyaman udara di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, di sini hari ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus.


Ringkasan AI
  • Letupan kompresor penyaman udara di universiti swasta Bukit Damansara cedera 9 orang, termasuk 4 penuntut, dengan beberapa mengalami kecederaan parah dan melecur.
  • Mangsa dihantar ke PPUM, HKL, dan Hospital Sungai Buloh, diasingkan mengikut tahap kecederaan; termasuk pekerja kontraktor dan warga asing di kafeteria serta seorang petugas pengurusan universiti.
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan kawasan selamat sepenuhnya selepas pemeriksaan menyeluruh; letupan disebabkan oleh kebocoran gas penyaman udara, sementara siasatan masih berlangsung.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Beliau berkata polis menerima panggilan kecemasan pada 11.40 pagi dengan letupan berlaku di kawasan penyelenggaraan yang terletak bersebelahan kafeteria di tingkat empat bangunan universiti itu.

"Sembilan mangsa terlibat dengan kecederaan berbeza termasuk ada mangsa cedera parah, melecur serta kecederaan akibat terkena serpihan kerana letupan berlaku dengan kuat sehingga menyebabkan kerosakan pada dinding di kawasan terlibat," katanya pada sidang media di lokasi kejadian hari ini.

Fadil berkata kesemua mangsa dihantar ke beberapa hospital berdekatan termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Hospital Sungai Buloh dan diasingkan mengikut tahap kecederaan masing-masing.

Beliau berkata lima lagi mangsa terdiri daripada masing-masing dua pekerja kontraktor luar bagi kerja pembaikan penyaman udara dan warga asing bekerja di kafeteria serta seorang petugas pengurusan universiti.

Fadil berkata kawasan kejadian juga belum dipenuhi penuntut semasa letupan berlaku kerana ramai yang masih bercuti.

Berhubung situasi di lokasi, beliau berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama-sama pasukan HAZMAT telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kawasan benar-benar selamat dan mengelakkan risiko letupan susulan.

"Setakat ini, JBPM sudah mengesahkan kawasan itu selamat sepenuhnya dan siasatan masih diteruskan," katanya.

Fadil berkata pihak pengurusan universiti telah memanggil juruteknik susulan masalah teknikal pada sistem penyaman udara itu namun kerja pembaikan belum sempat dilaksanakan.

Beliau berkata sebanyak 38 anggota bomba terlibat dalam operasi hari ini, termasuk pasukan forensik bomba dan HAZMAT dengan jumlah itu boleh ditambah jika diperlukan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Hassan 'As'ari Omar semasa dihubungi berkata pemeriksaan awal mendapati letupan berpunca daripada kebocoran gas penyaman udara, dengan pasukan siasatan masih berada di lokasi kejadian.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati dua ekor anjing Unit Pengesan K9 JBPM turut digunakan dalam operasi itu.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Apakah punca utama letupan kompresor penyaman udara di universiti swasta di Bukit Damansara?
    A: Letupan berpunca daripada kebocoran gas penyaman udara menurut pemeriksaan awal oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
  • Q: Berapa jumlah mangsa yang terlibat dalam insiden letupan tersebut?
    A: Sembilan termasuk empat penuntut cedera dalam insiden letupan kompresor penyaman udara di universiti swasta di Bukit Damansara.
  • Q: Apakah tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa selepas kejadian letupan itu?
    A: Pihak berkuasa, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh bagi memastikan kawasan selamat dan mengelakkan risiko letupan susulan.
  • Q: Di mana mangsa insiden letupan tersebut dihantar untuk rawatan?
    A: Kesemua mangsa dihantar ke beberapa hospital berdekatan termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta Hospital Sungai Buloh mengikut tahap kecederaan masing-masing.
  • Q: Berapa jumlah anggota bomba yang terlibat dalam operasi pascaketika letupan tersebut?
    A: Sebanyak 38 anggota bomba terlibat dalam operasi pascaketika letupan penyaman udara di universiti swasta di Bukit Damansara.



#Fadil Marsus #universiti swasta #letupan kompresor penyaman udara #tingkat empat bangunan universiti #Bukit Damansara