MALAYSIA

Sembilan termasuk tiga tekong Indonesia ditahan seludup keluar dari perairan Johor

Bernama 13/12/2025 | 08:05 MYT
Polis merampas dua bot pancung kayu, bot fiber (sebuah), enjin sangkut Yamaha (dua) dan enjin sangkut Suzuki 100 kuasa kuda (satu) dengan nilai keseluruhan RM435,785. - Foto PDRM
JOHOR BAHRU: Polis menahan sembilan warga Indonesia termasuk tiga tekong yang cuba menyeludup keluar dari Malaysia menggunakan tiga bot di perairan Sungai Rengit, dekat Kota Tinggi, dua hari lepas.


Ringkasan AI
  • Polis Johor menahan sembilan warga Indonesia termasuk tiga tekong yang cuba menyeludup keluar dari Malaysia menggunakan tiga bot di perairan Sungai Rengit, dekat Kota Tinggi.
  • Penahanan dilakukan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menerusi OPS Taring Gelora, menyebabkan rampasan dua bot pancung kayu dan beberapa enjin dengan nilai keseluruhan RM435,785.
  • Kes menyeludup ini disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007; orang awam diminta memberi maklumat kepada polis jika mempunyai sebarang informasi berkaitan kes ini.


Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata semua lelaki berusia dari 22 hingga 52 tahun ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menerusi OPS Taring Gelora dari 6.53 petang hingga 8.30 malam.

"Bot itu dipintas kerana mencurigakan dan pemeriksaan mendapati tiga tekong tersebut berperanan membawa penumpang keluar masuk ke Batam manakala enam lagi penumpang yang ingin pulang ke negara asal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ab Rahaman berkata pihaknya merampas dua bot pancung kayu, bot fiber (sebuah), enjin sangkut Yamaha (dua) dan enjin sangkut Suzuki 100 kuasa kuda (satu) dengan nilai keseluruhan RM435,785.

Beliau berkata semua ditahan dibawa ke Markas Taktikal PPM Wilayah Dua Pengerang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran 2007.

Orang ramai mempunyai maklumat kegiatan jenayah diminta menghubungi bilik gerakan polis terdekat atau Pusat Kawalan Polis Kontinjen Johor menerusi talian 07-2212 999.

-- BERNAMA






#Polis Marin Johor #warga Indonesia #tekong #seludup keluar #Sungai Rengit #Kota Tinggi