MALAYSIA

Sembilan warga asing direman kes penipuan kerja sambilan dalam talian

Bernama 09/01/2026 | 03:30 MYT
Siasatan awal polis mendapati kesemua suspek disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian tidak wujud dan menyasarkan mangsa dari luar negara.
SEREMBAN: Sembilan lelaki warga asing direman empat hari sehingga 11 Jan bagi membantu siasatan berhubung kes penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian tidak wujud.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban Supt Muhd Amrul Yazid Anuar berkata kesemua mereka ditahan menerusi serbuan Operasi Belatuk di sebuah rumah di daerah ini pada Rabu.

Beliau berkata serbuan dijalankan pada 3.30 petang hasil maklumat dan pemantauan Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Seremban.

"Hasil serbuan itu membawa kepada tangkapan sembilan suspek warga asing berusia lingkungan 28 hingga 46 tahun.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket penipuan tawaran kerja sambilan dalam talian tidak wujud dan menyasarkan mangsa dari luar negara," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata turut dirampas sembilan set komputer, satu komputer riba, telefon bimbit pelbagai jenama (32), kad sim (55) serta satu alat kawalan jauh pintu pagar yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan penipuan itu.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


#Operasi Belatuk #penipuan kerja dalam talian #warga asing #reman