Sembunyi dalam tayar pesawat dengan hanya RM6, nasib baik tak sampai Korea!

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 14, 2019 15:16 MYT
Suspek boleh dianggap bernasib baik kerana jika misinya untuk menaiki pesawat berkenaan berjaya diterusnya, dia mungkin akan terkandas di Korea. Foto Ihsan pembaca Astro AWANI.
Lelaki Indonesia yang menceroboh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada Isnin, sebelum bersembunyi di bahagian tayar pesawat kargo, hanya mempunyai wang RM6 di dalam koceknya.
Begitupun, dia boleh dianggap bernasib baik kerana jika misinya untuk menaiki pesawat berkenaan berjaya diteruskan, dia mungkin akan terkandas di Korea.
Ini kerana, pesawat yang dinaikinya itu dijadualkan terbang ke Korea, bukannya ke Medan, kampung halamannya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Jafri Md Zain berkata, suspek berusia 39 tahun itu hanya memiliki pasport tetapi tiada permit kerja dan kini direman untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat menurut Seksyen 7 Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Polis juga sedang mengesan seorang lelaki iaitu pemilik kedai memproses ayam di Balik Pulau yang didakwa tidak membayar gaji suspek sejak dua bulan lalu bagi membantu siasatan.
Terdahulu, suspek dijumpai dalam ruang tayar kapal terbang kargo jenis Boeing 767 milik sebuah syarikat kurier kerana mahu menaiki penerbangan untuk pulang ke Medan.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.58 pagi Isnin itu, tindakan suspek dikesan seorang juruteknik yang sedang membuat penyelengaraan kapal terbang kargo berkenaan.
#balik kampung #Boeing 767 #Indonesia #Jafri Md Zain #kampung halaman #kapal terbang kargo #Korea #Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang #LTAPP #Medan #penerbangan #pesawat #polis #ruang tayar kapal terbang #siasatan #suspek #syarikat kurier