Skip to main content

Malaysia

Semiconstart lambang fasa pelaksanaan agenda semikonduktor Malaysia - Amir Hamzah

BALIK PULAU, 15 Feb -- Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika menjawab soalan media semasa melakukan lawatan Kampung Angkat MADANI di Kampung Pulau Betong hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Amir Hamzah berkata inisiatif ini menandakan permulaan usaha bersepadu untuk menggalakkan inovasi, pengkomersialan dan pembangunan teknologi. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Langkah Malaysia memperkukuh ekosistem semikonduktornya telah memasuki peringkat pelaksanaan dengan pelancaran SemiconStart Malaysia, menunjukkan tumpuan kerajaan untuk menterjemahkan perancangan kepada pencapaian yang nyata dalam industri, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata inisiatif ini menandakan permulaan usaha bersepadu untuk menggalakkan inovasi, pengkomersialan dan pembangunan teknologi.

“Pada tahun lepas, banyak perhatian telah diberikan untuk memperkukuh ekosistem semikonduktor Malaysia melalui Strategi Semikonduktor Nasional. Sasaran penting telah diumumkan, sumber telah diperuntukkan dan inisiatif baharu telah diperkenalkan.

“Ini merupakan langkah perlu, tetapi akhirnya, strategi mesti diterjemahkan kepada tindakan,” katanya dalam ucaptama pada majlis pelancaran SemiconStart Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) Tan Sri Abd Rahman Mamat. 

SemiconStart Malaysia ialah program inkubasi semikonduktor nasional yang dirangka untuk menyokong pertumbuhan syarikat semikonduktor Malaysia dan berpangkalan di Malaysia yang berpotensi tinggi dalam segmen bernilai tinggi dalam rantaian nilai semikonduktor global.

Amir Hamzah berkata selama bertahun-tahun, kejayaan Malaysia diukur dengan keupayaannya untuk menyertai rantaian bekalan global, tetapi hari ini, kejayaan diukur melalui keupayaan untuk mencipta nilai dalam rantaian bekalan, dengan sumber nilai beralih kepada inovasi, teknologi termaju dan keupayaan khusus.

Beliau berkata persoalannya bukan lagi sama ada Malaysia boleh menjadi sebahagian daripada industri semikonduktor tetapi sama ada ia dapat mewujudkan lebih banyak nilai dalam industri, membangunkan lebih banyak harta intelek, membina lebih banyak syarikat teknologi yang berdaya saing pada peringkat global dan melahirkan generasi inovator seterusnya yang akan membentuk masa depan sektor ini.

Amir Hamzah berkata aspirasi ini sejajar dengan Strategi Semikonduktor Nasional, yang bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor melalui inovasi, pembangunan bakat dan keupayaan teknologi tempatan.

Beliau berkata Malaysia mempunyai banyak asas yang diperlukan untuk berjaya, termasuk keupayaan perindustrian yang baik, institusi yang kukuh, ekosistem inovasi yang berkembang dan kedudukan strategik dalam rantaian bekalan global tetapi cabarannya adalah membina kekuatan ini bagi mewujudkan nilai yang lebih besar untuk negara.

Katanya membina keupayaan teknologi bukanlah satu usaha jangka pendek dan memerlukan pelaburan berterusan dalam bakat, penyelidikan, infrastruktur, keusahawanan dan pembangunan ekosistem serta ketekalan matlamat.

Beliau berkata kerajaan kekal komited untuk memperkukuh ekosistem inovasi dan teknologi melalui dasar strategik, pelaburan bersasar dan kerjasama yang menyokong transformasi ekonomi jangka panjang.

“Impak daripada usaha ini tidak hanya diukur daripada angka pelaburan atau statistik ekonomi. Ia juga akan diukur melalui keupayaan yang dibangunkan, teknologi yang dikomersialkan, industri yang diperkukuh dan peluang yang diwujudkan untuk generasi akan datang.

“Matlamat kita jelas. Kita mahu Malaysia bukan sahaja dikenali sebagai peserta yang dipercayai dalam rantaian nilai teknologi global, malah sebagai sumber inovasi, harta intelek dan syarikat teknologi yang berdaya saing pada peringkat global,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement