Semoga Abe Shinzo kembali pulih - PM

Astro Awani
Ogos 29, 2020 07:37 MYT
Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo mengumumkan peletakan jawatan susulan masalah kesihatan yang dihadapinya. - Foto Facebook/Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan doa agar kesihatan bekas Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo kembali pulih seperti sedia kala.
Muhyiddin menerusi Facebook miliknya berkata, peletakan jawatan Abe mengejutkan banyak pihak termasuk rakyat Malaysia.
"Beliau dikenali kerana wawasannya yang terkehadapan selain peranannya dalam meningkatkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun.
"Sepanjang pentadbiran beliau, hubungan kedua-dua negara bukan sahaja bertambah erat, bahkan turut meneroka banyak peluang kerjasama baharu," jelas beliau.
Selain itu, Muhyiddin turut memaklumkan hubungan ASEAN dan Jepun juga mencatat banyak pencapaian bermakna di bawah kepimpinan beliau.
"Saya mewakili rakyat Malaysia, mendoakan agar kesihatan beliau kembali pulih," katanya menerusi laman sosial berkenaan.
BACA: Abe Shinzo umum letak jawatan
Sumber Facebook ts.muhyiddin
Terdahulu, pada Sabtu, Abe mengumumkan peletakan jawatannya ekoran masalah kesihatan.
Menurut Abe, beliau perlu menjalani rawatan jangkitan usus yang dihidapinya, penyakit yang menyebabkannya berundur buat seketika pada 2007.
"Saya akan menjalani rawatan untuk tempoh yang panjang.
"Oleh kerana saya tidak lagi berada dalam situasi di mana saya dengan yakin dapat menggalas amanah rakyat negara ini, saya telah memutuskan saya tidak lagi harus terus memegang jawatan perdana menteri," kata Abe.
#Abe Shinzo #ASEAN #Facebook #Jepun #Malaysia #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri