KUALA LUMPUR: Jururawat dan petugas barisan hadapan diharap kekal komited dan sentiasa bersedia memberi perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik kepada masyarakat.

Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Rusli Jaafar berkata, ia jasa terbesar kumpulan berkenaan semasa krisis pandemik COVID-19 melanda negara serta dunia kini.

"Berikutan itu, SKM menyampaikan sumbangan pek makanan kepada petugas barisan hadapan Fakulti Perubatan, Hospital UiTM Sungai Buloh, Selangor sebagai tanda penghargaan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan rakyat.

"Penghargaan itu disampaikan kepada petugas barisan hadapan khususnya jururawat yang bertugas di Hospital UiTM Sungai Buloh menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SKM yang berlangsung di Fakulti Perubatan Hospital UiTM, Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Turut hadir pada majils tersebut, Presiden Kebangsaan Pertubuhan Kajian Pembangunan Malaysia (MRDO) merangkap koordinator program, Prof Datuk Mohd Harun Nizam.

Rusli berkata, SKM dan Hospital UiTM Sungai Buloh berharap program seumpama itu akan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memupuk semangat kerjasama dan prihatin dalam masyarakat.