MALAYSIA

“Semoga masa depan bersama Cik Afzaa Fadini sentiasa indah” – Raja Muda Selangor

Astro Awani 25/09/2025 | 23:00 MYT
Tengku Amir Shah dan Cik Afzaa Fadini akan melangsungkan pernikahan pada 2 Oktober ini di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang. - Gambar Instagram @rmselangor
KUALA LUMPUR: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan doa agar masa depan baginda bersama pasangan, Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz, sentiasa indah dan diberkati.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun media sosial baginda pada Khamis, Tengku Amir Shah memohon agar hubungan yang bakal dibina itu dilimpahi perlindungan Allah SWT, disulami kasih sayang, saling percaya serta hormat-menghormati.

“Sayang, malam ini saya doa semoga masa depan kita sentiasa indah. Moga Allah lindungi kita, tunjukkan jalan yang baik dan penuh cahaya.

“Saya juga doa kita nanti dikurniakan keluarga yang sihat, kuat dan hubungan kita makin kukuh dengan kasih sayang, percaya dan hormat-menghormati,” titah Tengku Amir Shah lagi dalam hantaran itu.


Dalam masa sama, Raja Muda Selangor turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat negeri itu atas doa dan sokongan yang dizahirkan sempena Istiadat Perkahwinan Diraja.

“Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh Rakyat Selangor atas doa yang telah dipanjatkan.

“Sesungguhnya beta amat bersyukur atas segala ingatan dan doa tulus ikhlas tersebut terutamanya melalui majlis-majlis doa selamat yang telah diadakan di seluruh negeri Selangor bersempena dengan Istiadat Perkahwinan beta dengan Cik Afzaa Fadini,” titip Tengku Amir Shah.

Tengku Amir Shah menzahirkan doa agar masa depan baginda bersama Afzaa Fadini sentiasa indah dan diberkati. - Gambar Instagram @rmselangor


Pada 22 September lalu, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memaklumkan, putera baginda, Tengku Amir Shah akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini pada 2 Oktober ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, Istiadat Pernikahan Diraja itu akan berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.

Kata Mohammad Munir, Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan perkahwinan itu pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober.

Sehubungan itu, satu majlis bacaan Yasin dan doa selamat diadakan malam tadi di seluruh masjid negeri Selangor, dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Majlis tersebut bertujuan memohon keberkatan agar semua istiadat dan majlis dirancang berjalan lancar.

Berangkat sama pada majlis bacaan Yasin dan doa selamat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam itu ialah Sultan Selangor dan Raja Muda Selangor.

Majlis doa selamat perkahwinan Raja Muda Selangor






#Raja Muda Selangor #Raja Muda Selangor kahwin #tengku amir shah #Cik Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz #Perkahwinan Diraja