MALAYSIA

'Semoga semuanya dipermudahkan' - Syed Saddiq

Sinar Harian 12/12/2025 | 03:45 MYT
Syed Saddiq ketika tiba di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: “Saya berharap prosiding hari ini berjalan lancar dan saya doakan semuanya dipermudahkan.”


Ringkasan AI
  • Syed Saddiq meletakkan kepercayaan kepada institusi kehakiman dalam prosiding rayuan pendakwaan empat pertuduhan menyeleweng dana Armada di Mahkamah Persekutuan Putrajaya.
  • Pasukan pembelaan beliau telah menjawab isu yang dibangkitkan pihak pendakwaan secara komprehensif sepanjang prosiding.
  • Prosiding rayuan di Mahkamah Persekutuan merupakan peluang terakhir pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan Syed Saddiq.


Demikian kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menegaskan beliau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada institusi kehakiman dalam prosiding rayuan pendakwaan berhubung empat pertuduhan menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Persekutuan Putrajaya di sini pada Khamis.

Menurut Syed Saddiq, segala isu yang dibangkitkan pihak pendakwaan telah pun diperjelaskan dan dijawab secara menyeluruh oleh pasukan pembelaannya.

"Saya menghormati tugas pihak pendakwaan, semua isu yang ditimbulkan telah kami tangani, bukan sahaja dalam prosiding rayuan tetapi juga melalui petisyen bertulis sebelum ini.

"Segala perkara telah dihujahkan secara komprehensif, kini, saya serahkan kepada panel hakim Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan berdasarkan fakta,” katanya.

Syed Saddiq berkata demikian ketika hadir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya bagi mengikuti hari kedua prosiding rayuan pendakwaan untuk mengetepikan pembebasannya daripada empat pertuduhan menyeleweng dana Armada yang dihadapinya.

Prosiding berkenaan bersambung sejak Khamis dan dijangka diteruskan sehingga selesai penghujahan kedua-dua pihak.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa prosiding ini merupakan peluang terakhir pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan Syed Saddiq berhubung empat kes menyeleweng dana Armada.

Mahkamah menetapkan prosiding berkenaan berlangsung selama dua hari bermula Khamis, di hadapan beberapa hakim. - Sinar Harian





#Syed Saddiq #kes mahkamah #pengubahan wang haram #keputusan mahkamah