Sempat buat panggilan video bersama, sebelum ibu maut dalam nahas di Gerik - Anak mangsa

Dewi Nur Harasha Alias
Julai 24, 2022 06:45 MYT
Jenazah salah seorang daripada lima magsa yang maut dalam satu kemalangan jalan raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli petang semalam selesai dikafankan. - Foto BERNAMA
BUTTERWORTH: Anak perempuan kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 62 berhampiran Banjaran Titiwangsa, Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik dekat Perak sempat membuat panggilan video bersama ibunya kira- kira jam 12 tengah hari semalam sebelum mendapat berita duka yang menimpa keluarganya.
Menurut Siti Fatimah Mohd Rodhi, 27, keluarganya dalam perjalanan pulang dari Kelantan ke Sungai Petani, Kedah selepas menghantar kakaknya ke sebuah pondok pengajian agama di Kota Bharu.
"Ibu, ayah, kakak, abang ipar dan anak saudara saya berada di Kelantan sejak Jumaat bagi menghantar kakak kedua saya (Siti Khadijah) yang mengikuti pengajian pondok di sana.
"Kali terakhir saya berjumpa keluarga pada hari Raya Aidiladha baru ini, saya sempat berbual dengan ibu melalui panggilan video dan ibu memaklumkan urusan pendaftaran pengajian kakak sudah selesai dan dalam perjalanan pulang ke rumah," katanya.
BACA: 5 sekeluarga maut: Hilux hilang kawalan sebelum rempuh Alza - Polis
BACA: Ciuman, pelukan erat ibu jadi petanda tragedi maut 5 ahli keluarga
Perbualan kami seperti biasa namun tidak menyangka dalam jam 4 petang saya terima panggilan dari seorang individu yang memberitahu keluarga saya terlibat dalam kemalangan," katanya sebak ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Siti Fatimah berkata, sebaik dimaklumkan kejadian menimpa ahli keluarganya dia bersama suaminya bergegas pulang dari Kuala Lumpur ke Sungai Dua.
[TERKINI] Kemalangan | Lima maut nahas di Gerik
Meskipun sedih dan terkejut dengan nahas yang meragut nyawa lima ahli keluarganya, Siti Fatimah sekeluarga reda dengan kehilangan tersebut.
Dalam kejadian jam 3.45 petang Sabtu , lima sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza maut selepas bertembung dengan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux.
Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang memandu dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki lima sekeluarga berkenaan.
Kemalangan | Kenderaan bertembung punca nahas di Gerik
#nahas Gerik #kemalangan #Siti Fatimah Mohd Rodhi #lima sekeluarga maut