KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah projek menangani banjir perlu disempurnakan segera demi kebaikan rakyat.

Al-Sultan Abdullah bertitah ini termasuk pelaksanaan projek tebatan banjir yang telah dirancang, merujuk kepada projek yang disembah maklum kepada baginda bagi menangani masalah bencana itu di Sungai Lembing di sini.

"Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Datuk Seri Zulkifli Yaacob) sudah kata kerajaan baru lulus lebih RM99 juta (untuk) projek tebatan banjir (di sini).

"Kita harap ini dapat disegerakan," titah baginda ketika berkenan menyantuni mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lembing hari ini.

Turut berangkat paduka anakanda yang juga Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Dalam titah itu, Al-Sultan Abdullah turut mencadangkan agar infrastruktur di Sungai Lembing dikaji semula kerana kawasan itu merupakan lokasi bersejarah dan masih didiami penduduk.

Seri Paduka menzahirkan rasa simpati kepada penduduk di kawasan itu yang terpaksa berdepan dengan bencana banjir bukan sahaja pada musim tengkujuh tetapi juga semasa hujan lebat di luar monsun timur laut.

"Jalan untuk sampai di sini sudah mendap, sungai mungkin dah cetek. Cari kaedah supaya banjir ini dapat kita atasi. Mungkin sudah sampai masa kena kaji. Tengok sungai kita, kaji infrastruktur yang ada dengan lebih serius dan terperinci (untuk mengurangkan risiko banjir)," titah baginda.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah mencadangkan agar Sungai Kenau diperdalam bagi mengurangkan implikasi banjir di kawasan terlibat.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan keselamatan seperti polis, bomba, tentera dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir.

Sewaktu lawatan itu, Seri Paduka turut berkenan mengurniakan sumbangan dan bantuan makanan daripada Yayasan Al-Sultan Abdullah kepada lebih 200 ketua isi rumah di PPS tersebut selain menyantuni mangsa banjir di dewan makan.

-- BERNAMA