MALAYSIA

Semua 80 murid Sekolah Rendah islam Al-Afsari dibenar duduki UPKK 2025

Bernama 05/11/2025 | 16:16 MYT
Penyelesaian dicapai selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan beberapa sesi semakan serta perbincangan bersama pihak sekolah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Isu pendaftaran 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari, Saujana Putra, Puchong bagi menduduki Ujian Penilaian al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) Tahun 2025 kini selesai, dengan kesemua murid dibenarkan menduduki peperiksaan seperti calon lain di seluruh negara.

Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar dan Exco Agama Islam serta Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah.

Menurut kenyataan itu, penyelesaian dicapai selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan beberapa sesi semakan serta perbincangan bersama pihak sekolah bagi memastikan penyelesaian menyeluruh tanpa menjejaskan hak pelajar.

"Hasil perbincangan bersama, JAIS telah bersetuju memberikan kebenaran khas kepada kesemua 80 murid terbabit untuk menduduki UPKK Tahun 2025, dengan beberapa penyelarasan iaitu JAIS akan mendaftarkan kesemua murid untuk tujuan Sistem Pendaftaran Calon UPKK.

"Semua murid akan mengambil peperiksaan di pusat peperiksaan yang berdaftar (sekolah tumpang) dan peperiksaan lisan untuk tiga mata pelajaran yang telah selesai akan diaturkan selepas peperiksaan bertulis," menurut kenyataan itu

Kenyataan bersama Mohd Na'im dan Mohammad Fahmi itu turut memaklumkan bahawa JAKIM dan JAIS akan terus memantau pelaksanaan peperiksaan berkenaan agar berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Penyelesaian itu dicapai hasil arahan Mohd Na'im agar JAKIM dan JAIS bekerjasama dengan mengambil kira kepentingan pelajar, ibu bapa serta masa depan pendidikan Islam mereka.

Dalam masa yang sama, pihak sekolah telah memberikan komitmen untuk melengkapkan proses pendaftaran rasmi mengikut Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Selangor 1988, dengan bimbingan JAIS.

"Kerajaan menghargai kesabaran dan kerjasama ibu bapa serta pihak sekolah sepanjang proses ini berlangsung," menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, kerajaan menegaskan bahawa mana-mana sekolah atau institusi pendidikan Islam yang beroperasi tanpa pendaftaran rasmi dengan pihak berkuasa agama negeri akan dikenakan tindakan tegas.

Kerajaan juga tidak akan berkompromi terhadap aspek pematuhan peraturan dan keselamatan murid kerana ia melibatkan kredibiliti sistem pendidikan Islam serta integriti sebagai umat Islam.

"Diharapkan semua pihak menjadikan pengalaman ini sebagai pengajaran untuk memperkukuh kepatuhan terhadap garis panduan pendaftaran institusi pendidikan Islam pada masa hadapan.

"Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor kekal komited memperkukuh ekosistem pendidikan Islam negara melalui pendekatan 'Pendidikan Islam MADANI', berteraskan prinsip ilmu, adab dan tadbir urus berintegriti demi manfaat generasi akan datang," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, JAKIM mengesahkan 80 murid Sekolah Rendah Islam al-Afsari tidak didaftarkan untuk menduduki UPKK Tahun 2025 dan sekolah berkenaan dilaporkan beroperasi tanpa pendaftaran serta kebenaran sah.

-- BERNAMA

#isu pendaftaran #murid sekolah #Sekolah Rendah Islam al-Afsari #Mohd Na'im Mokhtar #UPKK