Semua cuti pegawai dan anggota polis Kuala Lumpur dibekukan

Afiezy Azaman
Mac 19, 2020 12:39 MYT
Arahan itu adalah untuk membantu kerajaan mengurangkan penularan virus COVID-19.
Cuti kesemua anggota dan pegawai Polis Kontinjen Kuala Lumpur dibekukan selama dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim, arahan itu adalah untuk membantu kerajaan mengurangkan penularan virus COVID-19.
"Buat masa ini kita bekukan cuti, jadi mereka yang bertugas ini adalah sepenuhnya Polis Kontinjen Kuala Lumpur, dekat sini ada 9,000 anggota. Kita kerahkan mereka.
"Daripada jumlah itu, terdapat kira-kira 5,000 anggota dan pegawai bertugas di lapangan dan mengikut syif.
"Bagi anggota dan pegawia yang bercuti, mereka telah dipanggil balik bertugas bagi memastikan perintah ini dilaksanakan sepenuhnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan sekatan jalan di Jalan Loke Yew pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata anggota dan pegawai akan ditempatkan di lapangan untuk melakukan sekatan jalan raya, rondaan secara berkala dan memantau pergerakan orang awam.
"Jadi polis menasihat orang awam supaya memberi kerjasama untuk berada di rumah dan mengikut arahan pihak berkuasa serta tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang dinyatakan kerajaan," jelas beliau.
#COVID-19 #Cuti dibekukan #Datuk Seri Mazlan Lazim #Jalan Loke Yew #Ketua Polis Kuala Lumpur #perintah kawalan pergerakan #Polis Kuala Lumpur #Sekatan Jalan Raya