KUALA LUMPUR: Semua ladang Jeram Lay Hong Bhd (Jeram 1-CES 008 hingga Jeram 6) disahkan bebas daripada Salmonella Enteritidis (SE) selepas ujian menyeluruh yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mendapati keputusan negatif bakteria tersebut.

Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata susulan keputusan negatif itu penggantungan bekalan telur daripada ladang Jeram 1 - CES 008 ditarik semula hari ini.

"Ujian tersebut selesai selepas bekalan digantung lebih daripada seminggu sejak SE ditemui di dalam telur yang dieksport daripada Ladang Jeram 1 - CES 008 ke Singapura," katanya.

Pengarah Eksekutifnya Datuk Yap Chor How berkata keputusan ujian itu menunjukkan bahawa tidak mungkin pencemaran SE itu berlaku baru-baru ini di mana-mana ladangnya.

"Seperti yang dimaklumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pencemaran SE tidak berlaku di ladang kami dan ia kemungkinan berlaku semasa bekalan kepada rantaian pemasaran.

"Kami akan serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat penyiasatan lanjut, dan kami akan terus bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk mengetatkan kawalan dan pemantauan ladang kami," katanya.

Syarikat itu berkata, selaras dengan keputusan negatif itu juga, Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan mengadakan perbincangan dengan Agensi Makanan Singapura (SFA) mengenai perkara tersebut.

"Kumpulan berharap Singapura akan menarik balik penggantungan eksport secepat mungkin bagi ladang Jeram 1," katanya.

-- BERNAMA