IPOH: Semua lorong di arah selatan di Kilometer 265, Laluan Kuala Kangsar-Ipoh dekat Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) masih ditutup pada Khamis, susulan kemalangan yang membabitkan sebuah lori tangki yang terbabas.

Plustrafik dalam hantaran di laman Twitter memaklumkan penutupan lorong berkenaan bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembersihan dilakukan.

“Semua lorong arah selatan masih ditutup bagi kerja pengalihan dan pembersihan. Laluan kontra masih diaktifkan. Trafik perlahan 4 kilometer (km) arah Selatan dan perlahan 2 km arah Utara,” tulis hantaran itu pada Khamis.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak mengesahkan kemalangan berkenaan membabikan sebuah lori tangki dengan dengan muatan 27,000 liter muatan petrol dan diesel.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Shahrudi Muhamad Halil berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian itu pada jam 6.17 petang Rabu.

Kemalangan berkenaan membabikan sebuah lori tangki dengan dengan muatan 27,000 liter muatan petrol dan diesel. - Foto JBPM Perak

Katanya sejurus selepas itu sepasukan anggota dan pegawai dari BBP Meru Raya telah dikerahkan ke tempat kejadian selain turut dibantu dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) BBP Pasir Puteh dan Tapah.

“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori tangki muatan cecair petroleum sebanyak 27,000 liter, yang membawa muatan petrol dan diesel.

“Pemindahan cecair petroleum telah dipindahkan ke lori tangki  yang lain. Kerja-kerja mengalihkan lori treler sedang dilakukan dengan bantuan kren,” katanya.