KUALA LUMPUR: Semua pihak memainkan peranan penting bagi memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan meningkatkan aspek ujian, laporan, maklumat dan penilaian kendiri, kata Persekutan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Namun, Presiden FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata kerajaan juga perlu mengetengahkan pendekatan berbeza serta bersasar dan bukannya bertindak menghukum majoriti syarikat-syarikat di Malaysia iaitu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang sedang bergelut untuk meneruskan kelangsungan perniagaan.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada Rabu susulan cadangan Kementerian Kesihatan berkaitan peruntukan dan pindaan dalam Rang Undang-Undang Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 (Akta 342) dengan meningkatkan nilai kompaun terbabit.

Soh berkata berdasarkan data terkini pada Jun 2021 menerusi Statistik Daftar Perniagaan Malaysia dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, PMKS mewakili 97.3 peratus daripada sejumlah 1.19 juta syarikat.

"Kalangan perniagaan masih mengalami kesan daripada pelbagai langkah kawalan pergerakan dengan kebanyakan syarikat belum berupaya untuk kembali ke tahap yang disifatkan sebagai mampan.

"Tindakan denda maksimum RM1 juta bagi kompoun atau sehingga RM2 juta bagi kesalahan yang didakwa di mahkamah akan hanya menyebabkan PMKS berkemungkinan terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mampu membayar jumlah denda tinggi sedemikian," katanya.

Beliau berkata, FMM juga bimbangkan mengenai aspek takrifan SOP yang tidak konsisten oleh pegawai penguatkuasa seperti yang berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan Penuh sebelum ini dan Akta 342 itu boleh disalahguna bagi tujuan penyelewengan kuasa dan rasuah.

Sehubungan itu, FMM berharap agar kebimbangan yang disuarakan oleh kalangan industri ini mendapat pertimbangan sewajarnya dan menyambut baik sebarang usaha libat urus dengan Kementerian Kesihatan bagi membincangkan saranan membendung pandemik yang dapat memberi manfaat bersama.

-- BERNAMA