Semua pihak perlu main peranan angkat martabat sektor pelancongan - PM Anwar

Anwar berkata usaha memajukan pelancongan tidak boleh digalas oleh kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan penyertaan menyeluruh merangkumi sektor awam, swasta, badan pelancongan, syarikat serta masyarakat. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
SUBANG JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak perlu memainkan peranan untuk berikhtiar mengangkat martabat negara dalam sektor pelancongan.
Ringkasan AI
- Anwar Ibrahim menekankan perlunya kerjasama antara sektor awam, swasta, badan pelancongan, syarikat, dan masyarakat untuk mengangkat martabat negara dalam industri pelancongan.
- Beliau menggariskan bahawa usaha memajukan sektor pelancongan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada kerajaan, tetapi harus melibatkan semua pihak.
- Anwar Ibrahim menekankan pentingnya sikap, senyuman, kerja, dan inovasi dalam usaha menyediakan tarikan baharu untuk meningkatkan daya tarikan pelancongan negara.
"Sektor kerajaan, sektor awam, sektor swasta, badan-badan pelancongan, syarikat, semua ini mengambil peranan melihat secara positif bagaimana boleh kita usahakan ikhtiar tambahan untuk mengangkat martabat negara kita," kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Cerita Malaysia Kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Surf Beach, Sunway Lagoon, di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata potensi negara adalah besar dengan sambutan serta petunjuk pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan ketika ini, namun keadaan itu turut disertai cabaran yang perlu ditangani secara bersama.
"Negara boleh maju dan terserlah sebagai negara hebat, tetapi negara juga boleh mendatar atau merosot. Rakyat telah memilih untuk mencapai kemajuan yang membanggakan dan berjaya," kata beliau.
Perdana Menteri berkata kejayaan hanya dapat dicapai melalui semangat berpasukan dan sokongan antara satu sama lain, selain mengurangkan perbalahan serta sentimen kebencian berasaskan kaum dan agama.
"Ini bukan soal menang atau kalah. Usaha ini memerlukan penyertaan semua pihak serta komitmen untuk memastikan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak berjaya di negara ini, sambil menerima sokongan dan dorongan yang diperlukan," kata beliau.
Pada majlis dianjurkan bersama Sunway Theme Parks dan Westar Group, Perdana Menteri turut melancarkan dua inisiatif utama iaitu koleksi khas Sunway Tiny Toys yang mengetengahkan ikon harian Malaysia sebagai cenderamata berinspirasikan warisan, serta program Malaysia Attraction Passport (MAP) iaitu program yang menggalakkan penerokaan domestik melalui pengalaman interaktif merentasi empat tarikan utama mesra keluarga.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim.
Selain itu, satu sesi khas turut diadakan di dalam Bernama Mobile Studio yang menampilkan temu bual bersama Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Theme Parks, Calvin Ho, bagi mengupas pandangan strategik mengenai pembangunan industri, inovasi, pelancongan serta hala tuju negara ke arah masa hadapan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


