[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Semua pihak perlu patuhi undang-undang, elak ceroboh tanah - Aminuddin

Bernama 16/04/2025 | 11:10 MYT
Aminuddin (foto) berkata semakan status tanah dalam pembinaan rumah ibadat dan aktiviti pertanian perlu bagi mengelakkan isu pencerobohan tanah rizab kerajaan. -Gambar fail/Bernama
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menggesa semua pihak mematuhi undang-undang berkaitan tanah rizab kerajaan dengan membuat semakan status kepada pejabat daerah dan tanah sebelum melakukan sesuatu pembangunan atau aktiviti.

Ringkasan AI
  • Kerajaan Negeri Sembilan menggesa semua pihak mematuhi undang-undang tanah rizab kerajaan dan membuat semakan status sebelum pembangunan atau aktiviti.
  • Semakan status tanah penting untuk mengelakkan pencerobohan, seperti rumah ibadat di Jalan Kuala Pilah-Johol yang dibina di tanah rizab sungai.
  • Kerajaan negeri mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada petani yang mengusahakan tanaman di tanah simpanan kerajaan, dan masyarakat dinasihatkan tidak menimbulkan isu perkauman.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata semakan status tanah dalam pembinaan rumah ibadat dan aktiviti pertanian perlu bagi mengelakkan isu pencerobohan tanah rizab kerajaan.
"Kita perlu sensitif apabila membina rumah ibadat atau bangunan. Contohnya rumah ibadat di Jalan Kuala Pilah-Johol, ia dibina dalam tanah rizab sungai, malah kawasan itu dalam perancangan bagi projek tebatan banjir.
"Hari ini kita telah bersetuju menyokong perobohan rumah ibadat itu kerana menceroboh tanah rizab sungai," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Aminuddin berkata perkara itu sedang dalam pemutihan dan tindakan Exco terlibat untuk diselesaikan dengan cara baik dan harmoni.
Beliau berkata kerajaan negeri sentiasa mendapatkan perkembangan terkini mengenai rumah ibadat melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri sebelum melaksanakan sesuatu tindakan bagi menjaga sensitiviti semua kaum agar sentiasa berada dalam keadaan harmoni.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri telah mengeluarkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada petani yang mengusahakan tanaman seperti durian, kelapa sawit atau getah di tanah simpanan kerajaan.
"Memang ada individu tanam di tanah milik kerajaan iaitu dipanggil 'tanah tersepit', tetapi tidak banyak,
"Menerusi LPS ini, apabila ada pihak tanam, kita akan kutip hasil bersama kerana ia ditanam dalam tanah kerajaan, jadi mereka juga bersetuju untuk membayarLPS setiap tahun.
"Kes ini melibatkan tanah rizab kerajaan di semua daerah tetapi keluasannya adalah terkawal, ia tidaklah sampai kita tebang hutan simpan, itu tidak berlaku pun," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata masyarakat dinasihatkan supaya tidak menimbulkan sebarang isu perkauman melibatkan perkara itu kerana semuanya berada dalam pengetahuan kerajaan malah mereka terlibat juga membayar hasil yang kemudiannya dikembalikan untuk pembangunan negeri.
-- BERNAMA
#Aminuddin Harun #pencerobohan tanah #rumah ibadat #tanah rizab