Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Semua pihak perlu siap siaga hadapi musim banjir - Sultan Pahang

Bernama 18/11/2025 | 22:40 MYT
Al-Sultan Abdullah menyarankan agar kerajaan negeri mempertimbangkan pembinaan PPS secara kekal melalui penambahbaikan dewan-dewan sedia ada, bagi memberi manfaat jangka panjang dan menjimatkan kos pengurusan. - Foto Kesultanan Pahang
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua pihak termasuk pentadbiran kerajaan negeri dan seluruh rakyat di negeri itu meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi musim banjir dijangka berlaku tidak lama lagi.

Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda bertitah persediaan rapi perlu dilakukan segera oleh semua agensi dan jabatan berkaitan, khususnya bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk di kawasan berisiko tinggi sentiasa terjamin.

"Semua pihak hendaklah mengambil langkah bersungguh-sungguh dalam membuat persediaan awal kerana musibah banjir memerlukan kerjasama semua. Saya juga mahu kebajikan mangsa banjir dipelihara, termasuk aspek penyediaan makanan yang bersih, sihat dan baik kualitinya di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Kebersihan tandas di PPS juga hendaklah sentiasa dijaga dan diselenggara dengan baik bagi mengelak penularan penyakit berjangkit selain memastikan pengguna diberi panduan tentang cara penggunaan kemudahan itu," titah baginda.

Menurut hantaran itu, Al-Sultan Abdullah bertitah demikian selepas persembahan taklimat Monsun Timur Laut 2025/2025 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) semalam.

Dalam pada itu, Sultan Pahang bertitah agar maklumat berkaitan air pasang, hujan lebat berterusan serta sebarang situasi yang boleh mengundang risiko banjir hendaklah dihebahkan kepada rakyat.

"Maklumat penting itu perlu dihebahkan dengan segera dan teratur bagi membolehkan rakyat membuat persediaan awal terutama mereka yang tinggal di kawasan banjir," titah baginda.


Baginda turut menyarankan agar kerajaan negeri mempertimbangkan pembinaan PPS secara kekal melalui penambahbaikan dewan-dewan sedia ada, sekali gus memberi manfaat jangka panjang serta menjimatkan kos pengurusan pada masa hadapan.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah turut menyeru semua pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya memperhebatkan kerja-kerja pembersihan, khususnya di kawasan saluran longkang dan sistem perparitan di bandar-bandar seluruh negeri bagi memastikan aliran air tidak tersumbat ketika hujan lebat.

Baginda bertitah supaya semua masjid dan surau di seluruh negeri Pahang melaksanakan solat hajat tolak bala bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT agar negeri itu dijauhkan daripada bencana banjir dan segala musibah.

-- BERNAMA

#banjir #Sultan Pahang #monsun timur laut #PPS