[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
MALAYSIA

Semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Tehran selamat

Bernama 18/06/2025 | 15:24 MYT
Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran terus memantau rapat situasi semasa dan bersedia memberikan bantuan konsular yang diperlukan. - BERNAMA
PUTRAJAYA: Semua rakyat Malaysia di Iran yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran dilaporkan selamat berdasarkan maklumat terkini, menurut Kementerian Luar.
"Kementerian ingin meyakinkan orang ramai bahawa keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara kekal menjadi keutamaan kami," kata jurucakap Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan kepada media pada Rabu.
Menurut jurucakap itu, Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran terus memantau rapat situasi semasa dan bersedia memberikan bantuan konsular yang diperlukan.
"Kami kekal berkoordinasi secara rapat dengan semua agensi berkaitan, sama ada di dalam atau luar negara bagi memastikan sokongan sewajarnya diberikan kepada rakyat Malaysia di Iran, termasuk memudahkan urusan kepulangan mereka sekiranya perlu," tambahnya.
Jurucakap itu turut memaklumkan bahawa susulan peningkatan risiko, Kementerian telah mengaktifkan Bilik Gerakan berkuat kuasa 17 Jun.
Ahli keluarga terdekat rakyat Malaysia di Iran boleh menghubungi Kementerian untuk mendapatkan maklumat dan bantuan di talian +603 8887 4570 atau e-mel: dutyofficer@kln.gov.my.
Terdahulu pada Rabu, Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata Malaysia akan membawa keluar rakyatnya dari Iran dengan operasi itu dijangka dilaksanakan Jumaat ini.
Malaysia turut menggesa semua rakyatnya di Iran agar meninggalkan negara itu serta-merta di tengah-tengah keadaan tidak menentu dan berisiko bertambah buruk berikutan ketegangan yang memuncak antara Israel dan Iran sejak Jumaat lepas.
-- BERNAMA
#rakyat Malaysia #Iran #Kedutaan Besar Malaysia #Tehran