Semua ubat untuk merawat demam yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan adalah selamat dimakan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, menjelaskan, arahan menarik balik sirap Paracetamol 120 mg/5ml di pasaran sebelum ini adalah kerana ia mengandungi alkohol dan tiada kaitan dengan isu keselamatan.

"Kita jangan keliru. Semua ubat termasuk sirap anti-demam yang didaftar dengan Bahagian Farmasi Kementerian memang semuanya selamat dimakan, cuma bezanya yang ada alkohol dengan tidak," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Wisma Yayasan Kesihatan Mental Malaysia di ibu negara.

Dr Hilmi berkata, sebarang ubat demam yang berdaftar dengan perkhidmatan farmasi kementeriannya disyaratkan tidak mengandungi alkohol.

"Untuk Kementerian Kesihatan kita tidak ambil yang ada alkohol. Bila ada alkohol memang kita tak terima. Maksud saya tahap alkohol yang ada dalam ubat-ubat yang telah didaftar adalah di tahap ubat yang selamat, label yang selamat jadi jangan bimbang.

"Ikut fatwa, memang harus boleh makan, ada sedikit alkohol memang boleh makan," ujar beliau.

Justeru beliau berharap orang ramai agar tidak keliru dengan isu berkenaan kerana ia hanya melibatkan pelanggaran peraturan oleh syarikat Royce Pharma Sdn Bhd (Royce Pharma).

"Isu yang sekarang ini memang ia melanggar peraturan yang telah kita buat. Jadi kita sudah arah dia tarik balik semua ubat yang brand Royce ditarik balik dari jualan yang ada alkohol," tambahnya.

Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan pada Rabu mengarahkan syarikat Royce Pharma menarik balik sirap Paracetamol 120mg/5ml kerana mengandungi alkohol.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian itu, Datuk Eisah A Rahman berkata kementerian telah mengarahkan syarikat tersebut memanggil balik semua produk berkenaan di pasaran dan fasiliti terlibat.

Kementerian dalam surat tawaran telah menetapkan spesifikasi bahawa sesuatu produk tidak sepatutnya mengandungi alkohol dan syarikat berkenaan ketika membuat tawaran ubat tersebut kepada kementerian tidak menyatakan pada label dan sisip bungkusan produk mereka mengenai kandungan alkohol.

Bagaimanapun Eisah berkata, produk itu telah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan didapati mematuhi keperluan kualiti, keselamatan serta keberkesanan.