Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa semua waris MH370 untuk membuat tuntutan terhadap MAS mengikut Konvensyen Montreal sebelum 8 Mac ini, untuk mengekalkan hak perundangan mereka, seperti yang diperuntukkan dalam konvensyen berkenaan.

“Sedang kita mendekati ulang tahun kedua peristiwa ini, saya telah dimaklumkan Malaysia Airlines System Berhad (MAS) yang kurang daripada 60 tuntutan pampasan telah diselesaikan, daripada 227 penumpang dan 12 anak kapal penerbangan yang terlibat, dan setakat ini 169 keluarga telah memulakan proses pampasan akhir.

“Mengikut Perkara 35 Konvensyen 1999 mengenai Penyatuan Peraturan Tertentu dengan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Konvensyen Montreal), hak untuk ganti rugi terhadap MAS akan terhapus jika tiada tindakan dilakukan dalam tempoh yang dua tahun dari tarikh di mana pesawat itu sepatutnya tiba di Beijing, iaitu pada 8 Mac 2014,” tambahnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA: Waris 12 penumpang saman MAS, tuntut ganti rugi

BACA: Usah terus menghukum Kapten Zaharie - Kakak

VIDEO: Serpihan pesawat didakwa MH370 mula dipindahkan

Lantaran itu, Liow menyeru semua waris dan keluarga menuntut hak mereka mengikut undang-undang negera dan antarabangsa yang berkaitan.

“Seperti yang dinyatakan MAS sebelum ini, hak ini adalah bagi waris untuk menuntut pampasan seperti yang terkandung dalam konvensyen antarabangsa,” katanya.

MAS sebelum ini menggesa semua waris tragedi MH370 mengemukakan tuntutan mereka sebelum 8 Mac ini bagi mengekalkan hak perundangan mereka.

"Bagi memastikan mereka yang terlibat mengambil tindakan yang diperlukan untuk mengekalkan hak perundangan masing-masing, syarikat ini beberapa kali memaklumkan kepada waris mengenai had tempoh dua tahun mengikut Konvensyen Montreal, yang bererti bagi MH370, ia tamat pada 8 Mac ini," kata MAS dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu menyebut syarikat berkenaan komited bersama waris terlibat bagi memastikan pampasan yang adil dan saksama.

Penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac 2014 ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal.