JOHOR BAHRU:Seorang suri rumah, Noorfadzillah Daud tidak kisah membantu rakannya yang tidak 'menang tangan', menjagakan kucing jalanan milik rakannya itu kerana beliau sendiri memang sukakan haiwan comel itu.

Menurut Noorfadzillah, 48, pada mulanya rakannya berusia 40-an itu meminta bantuannya untuk menjagakan seekor kucing yang sedang bunting dan berada di klinik kerana patah kaki akibat digilis kereta tiga bulan lepas dan menanggung segala perbelanjaan untuk kucing berkenaan termasuk makanan dan ubat.

"Dari situ mendorong saya untuk membantu menjaga kucing jalanan milik rakan yang kini mencecah 10 ekor dalam jagaan saya termasuk anak kucing betina terbabit serta seekor kucing Parsi betina," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rahmat di sini baru-baru ini.

Beliau berkata rakannya itu buntu untuk membela kucing-kucing jalanan yang ditemui kerana tiada ruang untuk membela haiwan tersebut kerana tinggal di kawasan kondominium di Tampoi di sini.

"Kawan saya pernah menyewa seunit rumah di kondominum sama, semata-mata hanya untuk menempatkan kucing-kucing jalanan atau terbiar. Kali ini, dia cakap dia sudah tidak 'menang tangan' membela kucing jalanan kerana sedang membela 20 ekor kucing di rumahnya dan terus bertanyakan kepada saya, sama ada mampu menjaga," katanya.

Noorfadzillah berkata kesemua lapan 'si comel' jantan dan dua betina itu yang turut diuruskan bersama suami Awang Sebawi Awang Halil, 55, dan anak bongsu, Awang Zulhilmi, 14, diberi makanan berzat, dimandikan, diperiksa daripada jangkitan fungus atau kutu selain sangkarnya dibersihkan daripada najis setiap hari.

Beliau berkata kesemua kucing itu memerlukan sekurang-kurangnya 14 kilogram makanan kucing (kibble) dan 60 kilogram pasir kucing setiap bulan dan segala kos penjagaan haiwan itu termasuk ubat-ubatan, sangkar dan aksesori ditanggung sepenuhnya oleh rakannya.

"Suami rakan ada menjenguk kucing-kucing berkenaan dua minggu sekali, saya sangat sayang kesemua kucing-kucing ini, timbul rasa kasihan jika kucing ini dilepaskan semula ke jalanan," katanya yang turut memelihara tiga ekor kucing sendiri dan haiwan lain seperti ayam, arnab dan ikan emas.

-- BERNAMA