NATIONAL
'Senarai Jadual Akta Racun 1952 perlu ditambah, banyak bahan terlarang baharu di pasaran'
Ayob Khan (dua, kanan) berkata, langkah itu mustahak kerana banyak dadah baharu kini berada dalam pasaran negara. -Foto Astro AWANI
BANGI: Senarai dalam Jadual Akta Racun 1952 perlu ditambah dengan memasukkan jenis bahan kimia baharu bagi memudahkan urusan pendakwaan di mahkamah.
Ringkasan AI
- Senarai Jadual Akta Racun 1952 perlu ditambah dengan jenis bahan kimia baharu untuk memudahkan pendakwaan di mahkamah.
- Kerjasama antara PDRM dan UKM menghasilkan kit ujian biosensor yang mampu mengesan dadah dalam sampel urin sepantas 20 saat.
- Sejak Januari 2024 hingga Februari lalu, sebanyak 115 tan dadah bernilai RM1.7 bilion dirampas dan lebih 300,000 individu ditahan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, langkah itu mustahak kerana banyak dadah baharu kini berada dalam pasaran negara.
“Di bawah senarai Jadual Akta Racun 1952, hanya 110 bahan terlarang tapi sebenarnya hampir 1,000 jenis dadah yang wujud di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).
“Dari segi perundangan, kalau kita kesan bahan baharu yang tidak tersenarai, kita akan alami kesukaran untuk mendakwa suspek tersebut.
“Dengan teknologi baharu sedia ada ini, kita dapat kesan keseluruhan bahan-bahan terlarang yang ada dalam urin secara tepat dan cepat.
"Insya-Allah, jika tambahan senarai bahan kimia dimasukkan ke dalam akta, biasanya tidak akan makan masa yang lama," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Mesyuarat Projek Kerjasama Strategik untuk Aktiviti Pendidikan dan Penyelidikan dalam Bidang Sains Forensik membabitkan Polis Diraja Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, pada Rabu.
Jelasnya, kerjasama itu berjaya menghasilkan kit ujian biosensor untuk mengesan bahan terlarang menerusi mesin Tims-Tof dengan mampu mengesan dadah dalam sampel urin sepantas 20 saat, berbanding kelaziman selama dua hari.
Mengulas mengenai rampasan dadah, Ayob Khan berkata, sejak Januari 2024 hingga Februari lalu, sebanyak 115 tan dadah bernilai RM1.7 bilion dirampas.
Polis juga menahan lebih 300,000 individu membabitkan penagih, pengedar dan tokan.