KUALA LUMPUR: Penyertaan golongan muda dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) ke-40 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2026 membuktikan seni deklamasi puisi kekal relevan walaupun negara kini berada dalam era digitalisasi.
Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, penganjuran sayembara itu menjadi wadah menyemarakkan semangat kebangsaan melalui seni serta memupuk kefahaman terhadap peranan sastera dalam pembinaan negara bangsa.
"Sempena Hari Kebangsaan pada setiap tahun perlu ada satu usaha untuk membugar semangat itu dalam bentuk seni yang halus. Jadi ini matlamat utama apabila masa beredar, generasi muda pun muncul.
"Mereka juga tidak boleh dikesampingkan untuk benar-benar faham bahawa sastera juga mempunyai fungsinya dalam pembinaan negara bangsa dan melahirkan rakyat yang patriotik serta nasionalis," katanya dalam kenyataan pada Ahad selepas majlis perasmian sayembara itu di sini.
Sementara itu, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Nurul Julia Alani Henry berkata, kemerdekaan bukan hanya dikenang melalui sejarah tetapi mesti terus dihidupkan melalui pemikiran bahasa dan budaya.
“Selagi bahasa Melayu dimartabatkan, selagi itulah roh kemerdekaan akan terus berdenyut dalam jiwa rakyat. Warisan Melayu mengingatkan kita bahawa nilai budaya dan jati diri bangsa wajib dipelihara.
“Dalam konteks hari ini, bahasa dan sastera antara warisan yang menjadi tunjang kepada kelangsungan tamadun bangsa,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu anak sulung Allahyarham Sasterawan Negara, Usman Awang iaitu Haslina yang menyampaikan piala pusingan Usman Awang kepada Johan SDPK Ke-40.
Kedua-dua sayembara peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dianjurkan oleh PENA dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).
-- BERNAMA