Persetujuan 12 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap langkah Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan seni tulisan khat di sekolah menunjukkan sikap toleransi dan persefahaman yang tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata penerimaan kesemua NGO itu juga menunjukkan mereka menyedari bahawa seni tulisan khat merupakan salah satu nilai tambah kepada pelajar dalam menimba ilmu pengetahuan.

"Ini menunjukkan bahawa mereka (NGO) melihat tulisan seni khat dari sudut kemanusiaan. Malahan ia juga adalah pilihan dan bukan paksaan dalam peperiksaan.

"Setiap budaya dan adat resam berbeza boleh diterima oleh setiap masyarakat dan ini menandakan masyarakat kita semakin maju ke hadapan," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Kempas, di sini, pada Rabu.

Menurut jadual, seni khat akan dimasukkan ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi murid Tahun 4, mulai tahun hadapan.

Pada Selasa, perbincangan antara 12 NGO bersama Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mencapai konsensus bahawa hanya pengenalan seni tulisan khat yang akan diperkenalkan bagi pembelajaran murid Tahun 4 pada tahun hadapan.

BACA: Tulisan khat, apa masalahnya?

BACA: Jangan jadikan khat subjek wajib - Rafidah Aziz

Bagaimanapun, Teo berkata persetujuan itu hanyalah pada tulisan seni khat dan bukannya pembelajaran tulisan Jawi.

Teo berkata turut dipersetujui dalam perbincangan itu ialah murid yang mempelajari pengenalan seni tulisan khat itu tidak diuji dalam peperiksaan.

BACA: Pemimpin DAP hadir taklimat isu jawi, khat

BACA: Kerajaan tekad teruskan pengajaran tulisan khat - Tun M

Sebelum ini, Teo mengumumkan pengenalan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks (Bahasa Melayu) di semua sekolah dalam negara termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

-- BERNAMA