KUALA LUMPUR : Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menggesa agar individu bernama Sarah Yasmine supaya berhenti 'membuka pekung' atau mengeruhkan lagi kontroversi yang melibatkan selebriti Aliff Aziz, Ruhainies dan Bella Astillah. 

Kata Seniman, ini kerana andaian dan persepsi orang ramai termasuk masyarakat luar sedikit sebanyak boleh menjejaskan imej serta kredibiliti industri hiburan tempatan.

Jelas persatuan itu lagi, pendirian tersebut selaras dengan dasar Seniman iaitu memperjuang, membela, menjaga kebajikan dan meningkatkan imej artis Malaysia.

"Perkara yang melibatkan Aliff Aziz dan Ruhainies telahpun dan sedang disiasat oleh pihak
berkuasa, maka semua pihak harus hormati proses tersebut.

"Selain daripada perkara dan isu yang hangat diperkatakan ketika ini oleh saudari Sarah Yasmine, Seniman beranggapan ia adalah isu peribadi, maka Seniman menggesa supaya perkara ini diselesaikan secara tertutup bagi mengelak atau membuka aib mana-mana individu lain," memetik kenyataan Seniman pada Isnin.

Tambah Seniman, ruang penyelesaian melibatkan isu rumah tangga Aliff Aziz dan Bella diselesaikan tanpa perlu ada campur tangan pihak lain kerana ia boleh menjejaskan proses sewajarnya.

Tegas persatuan itu lagi, pihaknya memandang serius isu melibatkan imej artis tempatan dan akan berusaha mengelakkan industri hiburan dipandang serong masyarakat dalam dan luar negara.

"Seniman juga menggesa agar pihak-pihak yang nama mereka terpalit dalam isu ini untuk
membuat laporan Polis dan laporan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) supaya pihak berkuasa boleh menjalankan siasatan.

"Akhir sekali Seniman mengingatkan semua pihak agar tidak polimikkan isu ini dan hentikan
segera segala perbalahan, kontroversi, salah menyalah serta membuka aib mana-mana individu di media sosial bagi menjaga nama baik industri di mata masyarakat," kata kenyataan itu lagi.

Baru-baru ini, laman media sosial hangat dengan cerita-cerita, serta pendedahan 'sisi hidup' yang kurang menyenangkan selebriti-selebriti tanah air oleh seorang wanita bernama Sarah Yasmine yang memuat naik tangkap layar perbualannya dengan mereka.