Seniman jalanan cekal cari rezeki

Bernama
April 10, 2024 07:00 MYT
Fauzin berkata, dia sanggup berulang-alik sejauh 148 kilometer dari Melaka ke ibu kota pada setiap hujung minggu bagi menghiburkan orang ramai secara sambilan. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Walaupun panas terik, seniman jalanan Nazri Aziz, 46, dan Fauzin Saihani, 34, serta beberapa rakan mereka cekal mengenakan solekan dan kostum tebal demi menghiburkan orang ramai untuk mencari rezeki di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini.
Nazri yang ditemui Bernama di Jalan TAR baru-baru ini berkata, dia mula berjinak-jinak sebagai badut secara sambilan pada 2016 sebelum menjadikan kerjaya tetap pada 2019 apabila ditawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) selepas berkhidmat dengan sebuah syarikat katering bagi sebuah syarikat penerbangan selama 23 tahun.
"Tawaran itu (VSS) memang saya nak ambil sebab ekonomi tak berapa elok masa itu. Jadi, sejak ambil VSS, saya terus buat kerja ini (menjadi badut) sampai sekarang," katanya.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, biarpun ditawarkan kembali bekerja dengan syarikat terbabit, dia tekad meneruskan kerjaya sebagai badut penghibur kerana keserasian dan minatnya yang mendalam.
"Dulu (2016) pendapatan saya kurang memberangsangkan, jadi saya buat kerja sambilan. Saya tolong orang jual belon gas di pasar malam, satu malam secara purata saya boleh dapat RM50 dari 5 petang sampai 10 malam.
"Masa itu saya hanya tahu buat belon bentuk pedang. Selepas tu saya cari kenalan badut menerusi Google untuk kembangkan ilmu dan saya dapat kenali seorang badut yang menjadi guru saya dari Banting, Selangor," katanya menambah gurunya memberi tunjuk ajar tanpa mengenakan sebarang bayaran.
Setelah hampir sedekad bekerja sebagai badut penghibur, Nazri berkata, antara cabaran yang sering dihadapinya adalah sikap sesetengah ibu bapa yang mempunyai tahap kesabaran yang rendah ketika hendak mendapatkan belon untuk anak-anak mereka.
"Saya tak letakkan bayaran kepada pelanggan, saya biar mereka bayar seikhlas hati, kadangkala ada yang ambil banyak tetapi bayar sikit, ada juga yang tak bayar langsung.
"Sikap ibu bapa ini yang susah nak tangani dan saya kena pandai kawal emosi saya untuk kawal perasaan mereka. Saya tak boleh marah mereka, kena tangani secara positif," katanya yang turut berkongsi rezeki dengan rakan-rakan Orang Kurang Upaya (OKU) yang dijumpai ketika bekerja.
Bercerita lanjut tentang kerjayanya sebagai 'Conda the Clown', Nazri berkata, aksesori paling mahal bagi seorang badut ialat kasut dipakai mereka, yang mampu mencecah hingga RM1,000 oleh kerana keunikan bentuknya dan sukar didapati.
Sementara itu, Fauzin berkata, dia sanggup berulang-alik sejauh 148 kilometer dari Melaka ke ibu kota pada setiap hujung minggu bagi menghiburkan orang ramai secara sambilan.
"Kita seniman jalanan, kerja kita menghiburkan orang. Ramai ibu bapa datang, anak-anak berjoget bersama kami. Kami rasa seronok," katanya yang tidak penat memakai kostum kucing dari pagi hingga malam, pada cuaca panas ini biarpun tebal.
Nazri, Fauzin dan sekumpulan rakan-rakan seperjuangan mereka pada kebiasaannya boleh ditemui menghiburkan orang ramai di sekitar Jalan TAR pada hujung minggu dan Dataran Merdeka, dari Isnin hingga Jumaat. - BERNAMA
#Seniman Jalanan #kostum kucing #Dataran Merdeka #jalan tar
;