SERINGKALI apabila kita sedang membeli-belah di sekitar ibu kota pasti halwa telinga kita akan disajikan alunan-alunan muzik dendangan seniman jalanan.

Mereka sinonim dengan panggilan 'buskers', menghibur dari jalanan, kompleks membeli-belah hinggalah ke pentas muzik yang berprestij.

Ahli seniman jalanan ini boleh dikatakan bekerja setiap hari untuk menghiburkan masyarakat sekitarnya.

“Kami mengajak orang ramai untuk menghibur bersama di samping kami menyampaikan mesej-mesej kepada masyarakat.

“Contohnya mengenai mangsa-mangsa banjir, kami doakan untuk mereka dan mengajak sekali masyarakat untuk berdoa untuk mereka,” kata pemain gitar The Kodox’s yang mahu dikenali Din Gitar, 24.

The Kodox's
Penghibur jalanan kumpulan The Kodox’s : Dari kiri vocalis Yujie, 26, pemain bass Tuah Johari, 25, Pemain drum dan alat genderang, Arul 24 dan pemain gitar Din Gitar 25 - Astro AWANI - MARIAH AHMAD

Sebelum Din memilih kerjaya ini secara profesional, beliau mempunyai perspektif seperti segelintir masyarakat yang berasakan golongan seniman jalanan ini seperti peminta sedekah.

“Saya memang tidak pandang pun golongan seniman jalanan ini. Namun apabila saya menyertai seni jalanan ini pelbagai ragam manusia saya jumpa. Ada yang tutup telingaapabilakamiberhibur.

“Tapi saya melihat perkara itu sebagai sesuatu yang positif,” tambah Din.

Ayawan Musafir Singgah, 49, juga mempunyai jawapan sendiri untuk mengikis prasangaka itu terhadap golongan seniman jalanan.

“Sebagai seorang pengkarya jalanan, kami bukan mengemis. Kami mencurahkan apa yang ada dan berdepan dengan masyarakat, kata Ayawan.

Ayawan
Ayawan Musafir Singgah, 49, menggembara dalam seni jalanan dengan puisi yang diciptanya "Dunia Bukan Hendakku Tawan Cukup Sekadar Membelah Awan," - Astro AWANI / MARIAH AHMAD

Bukan sahaja pengemis, ada yang melihat ahli seniman jalanan ini sebagai penagih dadah.

Bagi Presiden Kelab Penghibur Jalanan Malaysia (MYBC) Wady Hamdan, beliau mahu membina imej baru ahli seniman jalanan di Malaysia dengan bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).


“Sebelum ini persepsi masyarakat terhadap seniman jalanan lebih dilihat sebagai seorang pengemis ataupun terlibat dengan aktiviti dadah. Sebagai persatuan, kita hendak cuba untuk mendapatkan imej yang baru, kita bekerjasama dengan AADK dengan menjalani ujian air kencing dan kita mendapat rekod yang bersih di mana kita bebas daripada dadah.

“Kami juga mahu menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa penghibur jalanan bukan mengemis, sebab itu kami perlu lebih professional sebagai penghibur jalanan,” Wady.

Wady berkata MYBC ditubuhkan sejak Disember 2012 untuk menjaga kebajikan ahli seniman jalanan Malaysia disamping merancang untuk membina fenomena baru.

“Dulu buskers mungkin kurang bersedia namun kini mereka tekankan ini kerjaya mereka secara professional dan mereka perlu tampil secara professional dan buskers sekarang ini diberi perhatian, lebih serius, oleh semua pihak kerajaan, pihak swasta dan kita cuba jadikan busking ini satu aktiviti menjadi satu industri yang lebih maju.

"Buat masa ini pun kita dapat lebih lapan ribu ahli di seluruh Malaysia. Kita buat transformasi, kita nak bersatu di bawah bumbung yang sama dengan satu suara supaya lebih mudah untuk kita sampaikan mesej," tambah Wady.

Wady Hamdan
Wady Hamdan (kanan sekali) Presiden MYBC. Kelab MYBC merupakan pertubuhan berdaftar yang menggabungkan golongan Penghibur Jalanan bagi mentransformasi industri busking dan menaiktaraf karier penghibur jalanan. - Foto Facebook Wady Hamdan

Sebelum ini ramai ahli seniman jalanan telah ke Crotia, Eropah kerana terlibat dalam program antarabangsa di bawah tajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak sendiri.

"Pada masa akan datang kami akan bekerjasama dengan ahli seniman jalanan di Indonesia," kata Wady.

Beliau berkata buat ketika ini mereka sedang bekerjasama secara dekat dengan kerajaan untuk merangka kolej penghibur jalanan.

"Kita mahu mewujudkan ‘Kolej Penghibur Jalanan’, supaya kerjaya buskers ini diberi satu lesen oleh kerajaan dan kita pun sendiri tengah cuba untuk mengharapkan pihak kerajaan menaik taraf busker ini kepada satu standard, pengiktirafan ahli seniman jalanan," kata Wady.


Ayawan berkata MYBC membantu dirinya untuk teruskan berkarya di mana beliau percaya persatuan itu menghidupkan kesinambungan seniman jalanan.

Sebelum ini Ayawan menjadi pengkarya jalanan sepenuh masa, beliau adalah seorang jurutera di sebuah negeri di utara Malaysia.

“Ketika saya berkerja sebagai jurutera juga saya sempat berkarya, tapi saya simpan sahaja karya saya. Sampai satu masa saya tergerak hati, di mana saya rasa saya mahu mengawal masa sendiri, dan saya mula menghibur di jalanan.

“Mula-mula saya mendapat rintangan daripada keluarga, mereka tanya apa yang saya buat ni. Jadi saya sahut cabaran dan mulakan berkarya di jalanan," tambah Ayawan.

MYBC juga menggunakan media sosial seperti Youtube dan Facebook untuk memperkenalkan lagi muzik seniman jalanan ini.

“Mereka menonton video kami untuk melakukan penyelidikan bagaimana untuk menjadi buskers. Saya sendiri ada tunjukan cara-cara untuk menjadi buskers,” kata Setiausaha MYBC Mustam Mustafa yang popular dengan gelaran Mus Genji.

MYBC turut bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk meningkatkan lagi industri seni jalanan ini di seluruh Malaysia.
LIHAT GALERI FOTO: SENIMAN JALANAN KURANG UPAYA DI IBU KOTA

Hasrat MYBC untuk mencetus fenomena baru berjalan lancar apabila tahun lalu kompleks membeli-belah Avenue K menyediakan platform untuk mereka berhibur di hadapan pengunjung.

“Tidak ramai yang tahu ahli seniman jalanan yang sangat berbakat dan banyak membuat persembahan di sekitar Kuala Lumpur. Ketika kami menemui mereka, dan persatuan mereka, kami berasakan ada satu platform baik untuk mereka di Avenue K supaya orang ramai tahu bertapa berbakatnya ahli seniman jalanan di Malaysia.

“Jadi kami jemput mereka datang dan kami mengadakan ‘Busk Stop’ untuk mereka di mana mereka boleh membuat persembahan di sini,” tambah Sue Wang Pengurus Besar Avenue K.

Beliau berkata pengunjung-pengunjung Avenue K gembira dengan persembahan ahli seniman jalanan di sini.


Fenomena mereka terus berkembang apabila beberapa minggu lalu, kumpulan seniman jalanan Caliph Buskers dijemput untuk bernyanyi bersama MOJO di sebuah pentas muzik yang berprestij. Pada akhir rancangan, mereka dinobat sebagai persembahan terbaik.

Caliph Buskers
Caliph Buskers dijemput untuk bernyanyi bersama MOJO di sebuah pentas muzik yang berprestij. - Foto Wady Hamdan

Ketika dihubungi Astro Awani, ketua kumpulan Caliph Buskers Khairul Azmi Saat, 28 berkata matlamat mereka memilih kerjaya seniman jalanan adalah untuk mencari makan dan memberi hiburan kepada orang ramai.

“Bagi kami, pendapatan adalah nombor dua. Kami mahu menghiburkan bagi mereka yang mahu mendengar dan tempat untuk kami menunjukkan bakat kepada orang ramai.

Azmi berkata beliau bermula berkecimpung dalam bidang muzik sejak tahun lalu apabila beliau pada asalnya hanya mahu mencuba-cuba.

Kejayaan Caliph Buskers menawan hati masyarakat di pentas muzik membangkit semangat rakan seperjuangannya yang lain.

Bagi pemain drum dan alat genderang The Kodox’s, Arul, 24 kejayaan Caliph Buskers itu memberi inspirasi kepada mereka untuk pergi lebih jauh.

“Sekurang-kurangnya Caliph Buskers membuka mata ramai pihak mengenai buskers,” kata Arul.

Benar, orang ramai makin mengenali dan menghargai industri seni jalanan ini terutama sekali golongan belia.

Bagi pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sarawak Nashriq Nizam, 23 percaya ahli seniman jalanan ini mempunyai aura mereka yang tersendiri dalam keikhlasan menghiburkan masyarakat selepas menonton persembahan Caliph Buskers.

"Fenomena Caliph Buskers selepas muncul di media arus perdana yang menggantikan tempat seorang penyanyi cukup jelas menunjukkan golongan buskers terutama melibatkan golongan kelainan upaya ini bukan menyanyi untuk mengemis tapi menyanyi kerana minat meraka.

"Akhirnya, pandangan orang terhadap mereka sekarang dah berubah jadi positif bukan negatif," tambah Nashriq.

Caliph Buskers di CM
Kelihatan orang ramai membanjiri Central Market beberapa minggu lalu untuk melihat persembahan daripada Caliph Buskers selepas beraksi di sebuah pentas berprestij - Foto Facebook Caliph Buskers

Bagi Nahriq dia percaya ahli seniman jalanan ini bukan pengemis.

"Bagi buskers ini mereka akan menyanyi satu tempat tumpuan ramai untuk menghiburkan orang yang lalu lalang di situ. Jadi sebagai pendengar dan melihat persembahan itu, tidak salah kita bagi kredit dalam bentuk wang ringgit. Tak banyak pun bagi seringgit dua jadilah.

"Kalau kita rasa persembahan mereka lagi layak daripada artis sebenar, kenapa tidak memberi lebih? Itu tidak dikira sebagai pengemis," tambah Nashriq.

Bagi Shazlina Zainuddin, 22, ahli seniman jalanan adalah mereka yang sangat berbakat dan artistik.

"Mereka mahu nyanyi kerana mereka ikhlas nak menyanyi bukan sebab duit dan popular," kata Shazlina.

Ada juga di antara masyarakat yang sudah mempunyai kumpulan penghibur jalanan kegemaran mereka.

Essa Abu Yamin, 23, memilih Genji Buskers sebagai kumpulan penghibur jalanan dihatinya.

"Saya memang suka sangat Genji Buskers. Beliau selalu membuat persembahan di Bukit Bintang dan persembahnya sangat mantap! Bakatnya sangat hebat lagi luar biasa bagi saya," kata Essa.

Bagi seorang peminat The Kodox's yang tidak mahu dikenali berkata bakat Din Gitar adalah menakjubkan. "Caranya bermain gitar ibarat Slash. Saya gelarnya sebagai Slash Malaysia! Saya selalu mengikuti perkembangan mereka," katanya.


Tidak kurang juga ada yang melihat dari sudut lain mengenai golongan seni ini.

Bagi setiausaha di sebuah syarikat, Zainal Amir, 25, berpendapat penghibur jalanan ini mempunyai aura mereka yang tersendiri.

“Saya lihat golongan penghibur jalanan ini adalah satu komuniti ‘underground’ yang memberi harapan kepada golongan yang tidak bernasib baik di jalanan,” kata Zainal.

buskers
Antara Pengunjung Avenue K bergaya untuk mengambil gambar di hadapan kumpulan The Kodox's - Astro AWANI / Mariah Ahmad

Tahun demi tahun, Dekad demi dekad. Golongan seniman jalanan ini tidak pernah hilang puas, tidak pernah hilang minat dan kesungguhan mereka untuk menghibur masyarakat di jalanan.

Walau tidak terkira berapa kali mereka dicemuh, disalahsangka, dihina, mereka tidak pernah berputus asa untuk menyajikan persembahan muzik di jalanan dengan penuh keikhlasaan kepada masyarakat.

Sudah jelas, hasrat MYBC untuk mencipta fenomena baru untuk menaikkan industri seni jalanan ini dapat dirasai kehangatannya oleh sesiapa sahaja di Malaysia tanah air kita.