KUALA LUMPUR:Malaysia komited mengambil langkah-langkah yang diperlukan dalam melaksanakan kewajipan terhadap penguatkuasaan Triti Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear (TPNW) yang berkuat kuasa hari ini.

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, Malaysia turut menzahirkan komitmen untuk bekerjasama erat dengan negara-negara lain bagi memastikan momentum global kekal kuat terhadap pelucutan senjata nuklear.

"Malaysia percaya bahawa TPNW adalah satu surat cara antarabangsa yang mengikat secara sah, boleh dilaksanakan dan mewujudkan norma undang-undang bahawa senjata nuklear secara mutlaknya tidak boleh diterima.

"Dengan penguatkuasaan TPNW, norma global pencegahan senjata nuklear akan dapat diperkukuhkan.

"Malaysia berharap bahawa TPNW akan mengubah wacana mengenai pelucutan senjata nuklear daripada perbincangan yang dikuasai oleh negara-negara kuasa nuklear dan negara-negara bersenjata nuklear, kepada perbincangan yang lebih demokratik, saksama dan semua negara mempunyai suara yang sama penting," kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelas kementerian itu lagi, kerajaan akan terus melibatkan diri dengan masyarakat madani dalam mempromosi kesedaran, pendidikan serta wacana mengenai pelucutan senjata nuklear, khususnya berkenaan TPNW.

Sehubungan itu, Malaysia sekali lagi mengulangi pendirian dan  komitmen tidak berbelah bahagi negara terhadap pelucutan senjata nuklear.

"TPNW turut akan mengukuhkan lagi norma bahawa senjata nuklear tidak boleh  diterima sama sekali, tidak boleh digunakan, tidak boleh diancam untuk digunakan dan perlu disingkirkan dan dihapuskan dengan kadar segera.

"Malaysia memainkan peranan utama dalam proses yang membawa kepada pemeteraian TPNW oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada  2017," tambah kementerian itu lagi.

Triti merupakan surat cara antarabangsa pertama yang sah mengharamkan senjata nuklear secara komprehensif, dan berkuatkuasa selepas memperoleh pengratifikasian ke-50 pada 24 Oktober 2020 yang lalu.

Triti telah dimeterai di PBB pada 7 Julai 2017, yang melarang segala aktiviti  berkaitan dengan senjata nuklear.

Larangan ini termasuk pembangunan, pengujian, pembuatan, perolehan, pemilikan, penyimpanan,penempatan dan penggunaan.